Istimewanya Ain Humaira : TOF
Alhamdulillah, anak kedua saya adalah anak istimewa yang saya beri nama Ain Humaira. Istimewanya Ain kerana Ain ada Tracheoesophageal Fistula (TOF).
Apa itu Tracheoesophageal fistula?
Tracheoesophageal fistula ini adalah sambungan yang abnormal di antara esofagus dan trakea. Dalam bahasa Inggerisnya :
A tracheoesophageal fistula (TEF, or TOF; see spelling differences) is an abnormal connection (fistula) between theesophagus and the trachea. TEF is a common congenital abnormality, but when occurring late in life is usually the sequela of surgical procedures such as a laryngectomy.
Sumber :
https://en.wikipedia.org/wiki/Tracheoesophageal_fistula
Jom saya kongsikan gambar untuk lebih jelas.
Sumber : Google
Menurut pembacaan saya daripada beberapa laman web berbahasa Inggeris, ianya terjadi pada nisbah 1:4500 bayi dan tidak dapat dipastikan faktor terjadinya.
Bila saya dapat tahu anak saya bermasalah ini?
Pada minggu ke-30 kehamilan, saya buat detail scan. Medical Officer sampaila ke Doktor Pakar, termasuklah Ketua Jabatan scan baby tapi masih tak nampak stomach bubble baby. Kes saya dirujuk kepada pakar fetus dalam kandungan di Klinik Feto-maternal, HKL dan ujian amniosintesis (sedikit sampel air ketuban diambil untuk memeriksa sebarang kecacatan genetik) pon dibuat. Apa yang pasti, baby saya dalam kandungan lagi tak minum air ketuban.
Dipendekkan cerita, pada hari ke-2 Ain dilahirkan, Ain telah dibedah untuk menyambungkan bahagian yang tidak bersambung. Hari ke-3 Ain dilahirkan adalah hari pertama saya dapat lihat anak saya. Air mata tu jangan cakapla. Takde je orang, memang mengalir je laju. Walaupun saya belum pulih sepenuhnya akibat pembedahan melahirkan Ain, saya gagahkan juga demi anak.
Disebabkan jarak pemisah kecil, jadi doktor pakar terus buat penyambungan. Satu tiub dipasang di hidung kanan terus ke perut Ain untuk penyusuan dan ubat. Macam-macam ubat juga la yang masuk. Dekat sebulan juga tiub tu. Sambil tu, Ain diajar untuk menghisap dan menelan. Terapist akan datang buat urutan pada Ain. Saya pun diajar supaya bila Ain balik nanti, saya boleh terus buat pada Ain.
Disebabkan ada parut akibat pembedahan, saya difahamkan Ain akan batuk dan muntah untuk keluarkan lendir yang ada di parut tersebut. Selain itu, Ain juga ada severe reflux yang mana Ain kalau menyusu tak boleh dalam keadaan rata, susu akan keluar balik. Ada jual susu anti-reflux tapi mahal tu. Huhu. Sebelum keluar, Ain dibekalkan ubat Omeprazole & Maxalon. Ini semua ubat untuk masalah reflux dia tu la. Kata doktor, dalam umur satu tahun insya Allah akan berkurang masalah Ain ni. Insya Allah, mudah-mudahan. Sekarang ni, selain checkup di Klinik Kesihatan, masih ada follow up checkup kat HKL. Ikut jela demi anak tersayang.
TOF ni bukan perkara baru dan bukan Ain sorang je yang ada. Masa kat HKL tu, Ain ditempatkan bersama-sama bayi yang ada masalah sama. Cuma Ain bernasib baik cuma ada masalah TOF dan reflux. Bayi sebelah dan berdepan inkubator Ain, ada juga sampingan iaitu masalah jantung dan usus. Alhamdulillah, bersyukur sangat.
Saya percaya bukan saya seorang saja yang ada anak istimewa sebegini tapi ramai cuma pendedahan kepada umum mungkin kurang. Tidak kira seistimewa mana anak kita, percayalah, apa yang kita hadapi adalah dibawah kemampuan kita. Kalau rasa tak mampu atau tak tertanggung, mohon pada Yang Esa. Insya Allah, Dia sentiasa ada untuk hambaNya. Yang penting yakin padaNya.
Isi entri kalini ada bahasa doktor. Kepada doktor-doktor yang membaca, mohon ditegur dan diperbetulkan ya, almaklum ini bukan bidang saya. Saya baru belajar demi anak istimewa saya.