Tip pujuk anak ke sekolah
Sumber : Google
Alhamdulillah
Tinggal lebih kurang 11 hari sahaja lagi sesi persekolahan akan bermula. Bagaimana dengan persiapan persekolahan anak-anak sahabat MPA semua? Rasanya kebanyakkannya dah bersedia. Cuma mungkin ada beberapa lagi perkara yang belum selesai.
Insya Allah, bermula sesi persekolahan tahun 2017, Amir akan mula bersekolah tadika. Sememangnya MPA agak teruja dan berdebar dengan reaksi Amir pada hari pertama persekolahan. Macamana la agaknya nanti ya? Untuk sekolah tadika, tidak banyak yang perlu disediakan. Apa yang penting adalah peralatan sekolah seperti alat tulis, stokin dan kasut sekolah. Insya Allah, Isnin nanti akan diadakan sesi taklimat dan pembayaran yuran persekolahan sesi 2017.
Bagi anak-anak yang dah lama bersekolah, mungkin tiada masalah untuk ke sekolah. Malahan rasa seronok dan teruja untuk berjumpa sahabat-sahabat lama. Tapi bagi anak-anak yang baru mula memasuki alam persekolahan, pasti ada rasa takut, risau dan tidak selesa dengan apa yang bakal dialami. Jadi, macamana untuk mengatasinya? Antaranya :
- Sebelum ke sekolah mahupun dalam perjalanan ke sekolah, wujudkan perbualan tentang persekolahan. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di tadika seperti ada ramai kawan dan guru yang baik, dan ada aktiviti yang seronok bersama kawan-kawan.
- Di rumah, lakukan ulang kaji bersama-sama. Siapkan alatan persekolahan bersama-sama anak seperti beg sekolah, buku-buku dan pelbagai lagi.
- Sebelum tidur, pesanlah pada anak untuk membaca doa sebelum tidur supaya anak dapat bangun awal untuk ke sekolah dengan gembira. Beritahu pada anak bahawa guru dan kawan-kawan sedang tertunggu-tunggu kedatangan anak di tadika esok.
- Tonjolkan keceriaan kita ketika menyambut anak pulang daripada sekolah. Wujudkan perbualan tentang sesi persekolahan dengan menanyakan soalan-soalan berkaitan kawan-kawan, pelajaran yang diajar oleh guru dan aktiviti-aktiviti yang diikuti.
- Beri ganjaran dari segi pujian dan galakkan apabila anak menunjukkan sikap yang baik dan suka ke sekolah, Sekali sekala, mungkin boleh diberikan ganjaran berbentuk fizikal yang berpatutan sekiranya anak menunjukkan sikap yang baik semasa ke sekolah.
Sumber : Majalah Pa&Ma
Mungkin ada beberapa lagi tip dan panduan yang boleh sahabat-sahabat MPA kongsikan dengan MPA. Sudi-sudikanlah berkongsi ya. Mudah-mudahan ramai yang akan mendapat manfaat bersama, insya Allah.
Wallahua'lam.