Setia di sini
Alhamdulillah
Lama pula tuan rumah blog ini menyepikan diri. Sudah agak bersawang dan berhabuk blog ini.
Kepada sahabat-sahabat yang masih sudi singgah ke sini, terima kasih banyak-banyak dan MPA minta maaf sebab tiada entri terbaru kebelakangan ini.
Ini disebabkan puteri MPA, Ain Humaira; sekali lagi dimasukkan ke wad. Baru 2 minggu Ain keluar wad kanak-kanak di Hospital Kajang. Kali ini MPA bawa Ain ke Hospital Kuala Lumpur disebabkan waktu Ain kurang sihat adalah waktu malam, jadi kurang kesesakan lalulintas. Tambahan pula, temujanji Ain di Hospital Kuala Lumpur sudah dekat. Seperti sebelum-sebelum ini, Ain mengalami demam, batuk berkahak dan nafas laju.
Pada mulanya, kami dibenarkan balik pada hari ke-4 di wad, tetapi bila doktor Respiratori (paru-paru) melawat, kami diarahkan untuk pindah ke Wad Respiratori. Sewaktu entri ini ditulis, sudah 2 minggu kami disini.
Pada mulanya jadual amat padat, sehinggakan 'terbabas' juga waktu mengepam susu MPA. Antaranya makan ubat, pemberian susu, pengambilan nebulizer dan pemeriksaan berkala (tekanan darah, suhu badan, kadar degup jantung & kadar pernafasan). Bila sudah lama sikit seperti sekarang, barulah ada masa terluang sebab ada beberapa perkara yang tidak perlu untuk Ain.
Untuk kemasukan kali ini, Ain diminta untuk memakai mesin CPAP untuk membantu pernafasan Ain sebab Ain menggunakan tenaga yang banyak untuk bernafas. Jadi, bila menggunakan mesin ini, tenaga kurang digunakan dan berat Ain dapat bertambah dengan banyak. Mudah-mudahan hendaknya.
Pada mulanya memang Ain mengamuk sebab ada sesuatu yang dipasang pada mukanya. Tapi lama-lama jadi alah bisa tegal biasa. Apabila mandikan Ain, MPA akan cabutkan ia sekejap dan pasang semula selepas mandi. Alhamdulillah, senang menguruskan Ain. Ain sekarang tenang bila MPA pasangkan semula ke mukanya. Cuma gaya tidur Ain yang lasak menyebabkan ianya samada tercabut ataupun beralih tempat. Jadi setiap kali MPA bangun terjaga, memang MPA periksa keadan topeng CPAP.
Buat masa ini, Ain perlu pakai sepenuh masa sehinggalah keadaan Ain stabil dan berat meningkat dengan baik. Apabila berat Ain sudah cantik, barulah Ain perlu pakai hanya pada waktu tidur sahaja.
Sebagai ibu sepertimana ibu-ibu yang lain, MPA hanya berdoa dan mengharapkan segala yang terbaik buat anak-anak MPA. MPA percaya puteri MPA, Ain seorang pejuang dan anak yang kuat sebab mampu menghadapi segalanya sedari bayi lagi. Semoga Ain serta anak-anak sahabat-sahabat MPA semua kuat, sabar serta tabah menghadapi apa jua yang telah ditentukan. Insya Allah, aamiin.