Life is incredible. Let's appreciate everything in our hands.
Friday, May 19, 2017
MENCARI KEBERKATAN REZEKI
MENCARI KEBERKATAN REZEKI
Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya.
Namun anehnya, Imam Syafie menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sedangkan dia tidak faham apa maksud suruhan itu.
Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada perubahan.
Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan meminta agar mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itu pun pergi melaksanakan saranan Imam Syafie dengan perasaan yang sangat hairan.
Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya dengan menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya malah hidupnya menjadi lapang. Dia bertanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?
Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan itu tidak layak untuk mendapatkan upah lebih daripada 3 dirham yang mana kelebihan 2 dirham yang dia perolehi itu telah menarik keluar keberkatan harta yang dia miliki.
Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir yang membawa maksud :-
“Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya”.
Iktibar dan pengajaran
Apabila gaji atau harta yang kita terima tidak seimbang dengan kerja yang kita laksanakan, ini bermakna kita sudah menerima harta yang bukan hak kita yang mana ianya akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan menyebabkan hisab yang berat di akhirat kelak. Allahu Akhbar!
Semoga Allah sentiasa mengurniakan kita kemampuan untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sehingga rezeki yang kita perolehi diberkati olehNya di dunia dan akhirat, Amin.
Surah al-Jumuah ayat 10 bermaksud :-
“Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)".