SUNNAH YANG DILUPAKAN : TIDAK POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
SUNNAH YANG DILUPAKAN : TIDAK POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala Qurban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya DISUNATKAN menahan diri dari memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih (berkurban), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( HR Muslim, 3/39 )
Sekurang-kurangnya terdapat tiga ijtihad ulama mazhab dalam masalah ini.
1) Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
2) Mazhab Hanafi berijtihad ia adalah harus tanpa sebarang makruh.
3) Terdapat sebahagian lagi mazhab menyatakan Haram seperti mazhab Hanbali, Laith ibn Sa’ad, Ishak Rahuyah (Rahawaih) dan Sa’ad Ibn Muasayyib.
Bagaimanapun majoriti ulama dan mazhab menolak pandangan yang menyatakan haram kerana terdapat nas bahawa Aisyah r.a pernah meriwayatkan :-
كنت أفتل قلائد هدي رسول الله ، ثم يقلدها بيده، ثم يبعث بها، ولا يحرم عليه شيء أحلَّه الله له حتى ينحر الهدي
Ertinya : Aku mengikatkan tali pada binatang Qurban Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam kemudian Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengikatnya kembali dengan tangan Beliau kemudian mengirimnya . Maka sejak itu tidak ada yang diharamkan lagi bagi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dari apa-apa yang Allah halalkan hingga binatang qurban disembelih (Hadis sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam Fath al-bari menghuraikan bahawa hadis ini menunjukkan tiada larangan bagi yang telah berniat qurban (termasuklah untuk bercukur) sebagaimana larangan yang dikenakan bagi seseorang yang sedang dalam keadaan berihram, seperti bercukur dan sepertinya.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban seperti kesempurnaan mandi wajib. Namun yang terbaik, kita bersedia dari awal agar dapat tetap menghidupkan Sunnah yang dilupakan ini. Iaitu meninggalkan cukur dan memotong kuku bermula 1 zulhijjah bagi mereka yang telah berniat untuk melakukan Qurban sempena Aidil Adha.
Sumber : Telegram Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Wallahua'lam