Monday, May 07, 2018

Kempen pilihanraya di grup Whatsapp

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Bahang pilihanraya tidak perlu diperkatakan lagi. Rasanya bukan setakat bahang, hangat membara lagi. Anggota keselamatan negara seperti polis dan tentera sudah menunaikan kewajipan mereka untuk mengundi secara undi pos. Jadi, tinggal orang awam sahaja lagi keluar mengundi 2 hari lagi. Kempen mengundi ada di mana-mana, sehingga tidak terkecuali kempen mengundi di grup Whatsapp.

Rasanya bukan MPA sahaja yang terkesan dengan kempen pilihanraya di grup Whatsapp ni. Ramai rasanya yang turut menghadapinya. Pada pendapat MPA, untuk berkempen di grup Whatsapp, Telegram atau mana-mana saluran sekalipun, biarlah ianya sesuai dan dipersetujui oleh admin dan ahli dalam kumpulan tersebut.

Mungkin admin boleh bagi tempoh masa atau had untuk berkempen ataupun membincangkan hal berkaitan pilihanraya. Tapi apabila cukup tempoh masa yang telah diberikan, hormatilah admin dan ahli kumpulan tersebut dan berbaliklah semula kepada perbincangan berkaitan tujuan asal penubuhan kumpulan tersebut.

MPA mohon sebolehnya hormati pandangan orang lain sebab semua orang ada pandangan dan pendapat masing-masing. Elakkan terlalu fanatik dan mudah melenting apabila terdapat perbezaan pendapat dan pandangan. 

MPA tidak nafikan dalam bahang pilihanraya sekarang ini, ada sesetengah perkara atau kenyataan seseorang diambil hanya sebahagian sahaja sehinggakan menimbulkan salah faham kepada pihak lain. Ada juga sesetengah perkara ditokok tambah atau di salah tafsirkan sehingga menimbulkan ketidaksenangan di pihak lain.

Sebolehnya, selidik dahulu segala apa maklumat yang kita terima dan jangan mudah percaya dan ambil ia secara terus. Sebaiknya, dapatkan kesahihan maklumat tersebut untuk mengelakkan salah faham dan ketidaksenangan pihak lain. Elakkan menyebar sebarang gambar atau penyataan sebelum diselidik. Bukan apa, bimbang ianya merupakan fitnah dan perkara yang tidak benar.

Pendek kata, hormati admin dan ahli kumpulan. Ingat kembali tujuan kita sertai kumpulan tersebut. Jangan disebabkan sikap fanatik dan mudah melenting kita itu menyebabkan kita hilang kawan dan orang yang rapat dengan kita. Berkempenlah mengikut saluran yang telah ditetapkan. Kalau admin kumpulan tersebut bersetuju untuk membuka peluang berkempen, gunakanlah dengan bijak dan sebaiknya. 

Semoga tempoh berkempen dan pilihanraya yang tinggal beberapa hari ini berlaku dengan aman damai tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Selamat mengundi semua!


Lot's of love,
 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png

Friday, May 04, 2018

Pendaftaran Persekolahan Tahun 1 Sesi 2019 Tamat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Alhamdulillah, Isnin semalam, 30hb April 2018 merupakan hari terakhir pendaftaran persekolahan Tahun 1 sesi 2019. Pada tahun lepas, 2017; MPA telah mendaftarkan Amir sekolah tetapi pada tahun ini, rupanya sekolah tersebut agak jauh daripada rumah MPA. Jadi, MPA perlu mendaftarkan Amir di sekolah berhampiran dengan rumah MPA.

Pada mulanya MPA ingat ianya sekadar update maklumat berkaitan di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia. Rupanya kita mesti melalui pendaftaran yang sama sepertimana yang terdahulu. Terdapat 2 borang yang perlu dihantar bersama-sama beberapa dokumen sokongan yang diminta dan juga sampul surat berserta stem 80 sen. Jangan lupa pula untuk membatalkan nama anak di sekolah terdahulu. 

Berpusing juga MPA bersama Ain hendak selesaikan urusan persekolahan Amir untuk tahun depan. Daripada Ain comel dan kemas, akhirnya jadi tidak keruan. Hihi. Maafkan mama ya Ain.

Alang-alang keluar untuk selesaikan persekolahan Amir, MPA daftarkan juga Amir untuk sekolah agama. Jadi untuk tahun hadapan, Amir akan bersekolah agama di sebelah pagi dan bersekolah kebangsaan di sebelah petang. Jadual yang agak padat buat Amir tahun depan. 

Kalau ikutkan hati MPA, rasa kasihan pula nak sekolahkan Amir untuk kedua-dua sesi tersebut tapi bila fikirkan tentang masa depan Amir sendiri, terpaksalah berpenat sedikit sebab ilmu dunia dan akhirat kedua-duanya sangat perlu. Cuma MPA berharap segalanya akan dipermudahkan buat Amir sebab semestinya, di pengakhiran setiap hari, Amir dan anak-anak yang sama sepertinya akan kepenatan sangat dan tidak sabar menunggu hari cuti.

Bersabarlah wahai anak-anak sekalian. Semoga ilmu yang diperoleh dimanfaat sebaiknya dan digunakan ke arah yang diredhai oleh Allah Taala. Buat ibubapa termasuklah MPA sendiri pun perlu banyak bersabar dan bertabah menghadapi ragam anak sewaktu menguruskan mereka seharian. Insya Allah, aamiin.


Lot's of love,
 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png

Thursday, May 03, 2018

Istimewa May 2018

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Alhamdulillah, kita masih dipertemukan di bulan May 2018. Walaupun sudah 3 hari bulan May berlalu, tapi rasanya belum terlambat lagi MPA nak ucapkan Selamat Datang May 2018. Seperti bulan-bulan yang lain, bulan May tahun ini berbeza daripada bulan lain sebab banyak peristiwa dan hari istimewa di bulan May 2018 tahun ini.

Antaranya sudah semestinya setiap tahun, kita akan menyambut Hari Pekerja pada 1hb May.

Kredit kepada Grup Whatsapp

Hari pekerja di sambut bagi menghargai para pekerja dengan memberikan cuti satu hari untuk semua pekerja, tidak kira dalam sektor apa sekalipun. Walaubagaimanapun, untuk surirumah seperti MPA, kerja tetap perlu diteruskan. Kalau tidak, ada yang terpaksa berpuasa pula pada hari ini. Hihi

Selain itu, Malaysia, negara tercinta kita ini akan mengadakan hari pengundian pada tanggal 9hb May 2018 dan undian pos pada 5hb May 2018 untuk pihak berkuasa tempatan seperti polis dan tentera.

Kredit kepada : BHOnline

Hari penentuan bagi negara dalam menentukan pemerintah negara kita. Semua diseru untuk menunaikan hak masing-masing dengan keluar mengundi dalam masa yang telah ditetapkan. Kepada mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi, boleh membuat semakan daftar pengundi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihanraya (https://pengundi.spr.gov.my/). Kain rentang dan sepanduk sudah mula kelihatan di mana-mana. Insya Allah, MPA akan mengundi pada hari Rabu, 9hb May nanti.

Tanggal 13hb May 2018 pula merupakan Hari Ibu. 

Kredit kepada Google

Tidak MPA nafikan, sepatutnya hari-hari merupakan hari ibu. Tapi mungkin 13hb May itu nanti kita adalah extra special untuk para ibu kita, termasuklah isteri kita. Bukan apa, sebagai penghargaan kita di atas susah payah dan pengorbanan mereka sebab walaupun MPA kata sepatutnya hari-hai adalah hari ibu, untuk menjadikan hari-hari itu istimewa agak susah jugak bukan? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang cepat jemu macam MPA ini, kalau hari-hari dengan rutin sama sahaja, perkara yang sama sahaja, bosan juga. 

Mungkin hari ibu nanti kita belikan bunga dan kek ataupun jika lebih berkemampuan, menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat ibu dan isteri seperti minyak wangi kegemaran, beg kegemaran ataupun membawa ibu mahupun isteri ke tempat makan istimewa. Belum apa-apa lagi, hati MPA pula yang sudah berbunga-bunga. Hihi

Jangan dilupakan, tanggal 16hb May 2018 pula merupakan Hari Guru.

Kredit kepada Google

Selalunya pada hari guru, guru-guru yang paling seronok dan meriah sebab menerima hadiah yang banyak, terutamanya guru yang menjadi kegemaran anak murid. Tidak mustahil penuh kereta dengan hadiah dibuatnya. Sewaktu MPA kecil dulu, salah satu cita-cita MPA ingin menjadi seorang guru sebab ingin menerima hadiah yang banyak. Hihi

Mungkin ianya cuma angan-angan MPA sahaja sebab ianya tidak menjadi kenyataan. Cabaran guru memang banyak, terutama di zaman maklumat dihujung jari sekarang ini. Jika dahulu, guru memang tidak pernah dipertikaikan dan dipersoalkan. Tetapi pada zaman sekarang, guru perlu bersedia lebih sebab anak murid sekarang ada yang lebih bijak daripada guru sehingga mempertikaikan guru yang mengajar. Semoga guru-guru di Malaysia sabar, cekal, tabah dan kuat dalam menghadapi anak murid yang serba mencabar sekarang.

Bagi setiap umat Islam di seluruh dunia, tanggal 17hb May 2018 adalah hari yang dinanti-nantikan, iaitu permulaan bulan Ramadhan, bulan yang diwajibkan berpuasa selama sebulan bagi setiap umat Islam yang telah memenuhi syarat-syarat wajib puasa.

Kredit kepada Google

Bulan Ramadhan merupakan bulan barakah, di mana di dalamnya ada satu malam yang istimewa yang lebih baik daripada seribu malam iaitu Malam Lailatul Qadar. Malam yang sentiasa menjadi impian dan buruan bagi mereka yang mengejar cinta dan kasih sayang Allah Taala. Amalan baik di bulan Ramadhan ini akan dilipatkali gandakan pahalanya dan ramai yang berebut-rebut membuat amal kebajikan di bulan ini.

Tanggal 29hb May 2018 pula merupakan Hari Wesak.

Kredit kepada Google

Hari Wesak disambut oleh orang beragama Buddha. Kebiasaannya sambutan Hari Wesak terutamanya di Kuala Lumpur disambut dengan perarakan kereta berhias sambil dikelilingi oleh penganut Buddha membawa bunga dan lilin. Selain itu, penganut Buddha juga akan mengunjungi kuil-kuil mereka untuk melakukan upacara yang telah ditetapkan.

Nampaknya bulan May 2018 ini agak istimewa kerana terdapat banyak perkara dan hari istimewa di dalamnya. Diharapkan bulan May 2018 ini berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Peace no war. 


Lot's of love,
 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png