Monday, September 04, 2023

Keperluan wanita mengandung

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah. Seronok dengar ada sahabat-sahabat yang mula mengandung. Tak lama lagi akan berdebar menunggu detik kelahiran kesayangan. Tapi dalam menanti masa bayi dilahirkan, ada beberapa keperluan wanita mengandung yang perlu bukan saja wanita mengandung, suami dan ahli keluarga juga perlu juga cakna.

Di sini Umie nak kongsikan 3 keperluan utama wanita mengandung yang Umie rasa sangat penting, iaitu :

1. Nutrisi yang lengkap dan sihat

Bila wanita mula mengandung, keperluan nutrisi sangat penting demi memenuhi keperluan bayi yang dikandung dan juga ibu. Antaranya adalah B Complex, vitamin yang penting untuk pertumbuhan saraf tunjang bayi. Selain itu, kalsium juga amat perlu untuk bayi untuk pembentukan dan pertumbuhan tulang yang sihat dan baik. Sebab itu wanita mengandung sangat digalakkan untuk minum susu. 

Selain vitamin, makanan yang sihat juga sangat perlu untuk bayi dan wanita mengandung sebab vitamin dan nutrisi yang wanita mengandung ambil, akan disalurkan kepada bayi. Jadi keperluan wanita mengandung adalah berganda berbanding wanita biasa.

2. Sokongan emosi dan moral

Perasan tak kadang ada sesetengah wanita mengandung akan sedikit emosi. Kadang ada yang tak boleh bau itu ini dan kadang teringin macam-macam. Seorang sahabat Umie pernah langsung tak boleh bau nasi sewaktu mengandung. Jadi terpaksalah sepanjang beliau mengandung, sama ada beli makanan di luar atau keluarga masakkan untuk dia. Yang penting jangan masak di rumah beliau sebab beliau memang tak boleh bau langsung.

Sewaktu Umie mengandung anak kedua, Umie tak ada alahan cuma Umie memang kurang makan. Makan hanya separuh saja, kalau lebih akan termuntah. Umie juga langsung tak boleh minum susu, akan termuntah balik. Alhamdulillah, Umie mengandung anak pertama Umie tak ada alahan langsung, semua boleh, cuma anak kedua saja ada masalah sikit.

Setiap anak ada pengalaman mengandung tersendiri. Beruntung pada mereka yang mengalami pengalaman mengandung yang sama. Jadi, suami dan keluarga perlu bantu berikan sokongan emosi dan moral pada wanita mengandung dalam proses mereka menghadapi keadaan diri mereka yang tidak stabil dan tidak menentu.

3. Pemeriksaan berkala

Pemeriksaan berkala memang sangat perlu untuk wanita mengandung, tidak kisah sama ada mengandung kali pertama atau tak sebab kadang-kadang kondisi anak berbeza-beza. Setiap kali pemeriksaan, memang akan ambil darah untuk periksa Hemoglobin ibu pada tahap terbaik atau kurang. 

Selain itu, berat ibu mengandung juga akan diambil. Bila masuk kandungan 6 bulan ke atas, barulah pemeriksaan bayi dengan lengkap meliputi panjang tulang tangan dan kaki, tulang muka, gelembung perut (stomach buble) termasuklah untuk tahu jantina anak yang dikandung. Yang ada budget lebih, akan buat scan 3D atau 4D untuk tahu jantina dan muka bayi yang dikandung.


Bila mengandung, memang seronok. Semua orang di sekeliling akan seronok dan tumpang gembira juga. Tapi kesihatan dan keselamatan diri juga sangat-sangat perlu di ambil berat. Di awal kandungan, digalakkan tidak terlalu lasak dan lakukan aktiviti ringan sebab dibimbangi kandungan belum kuat lagi.

Selain itu, banyakkan berdoa dan mohon pada Allah juga agar dimudahkan segala urusan sepanjang mengandung serta dikurniakan anak yang soleh solehah, penyejuk hati ibu dan ayah nanti.

Kepada yang sedang melalui proses mengandung, tahniah diucapkan. Selamat menikmati segala proses kehamilan dan semoga dimudahkan segala urusan berkaitan kehamilan. Insya Allah, aamiin.

Barakallahu fikum.

Lot's of love,
http://mamapapaamir.blogspot.com