Monday, December 15, 2014

Si Anak Gajah

Bismmillahir Rahmaanir Rahim photo vectorbismillahpink2.png

Sumber : Google

Seekor anak gajah dirantai sejak kecil pada sebatang tiang. Pada mulanya anak gajah itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Anak gajah itu tidak terdaya kerana kakinya masih kecil, manakala rantai serta tiang yang menambatnya begitu kuat.

Hari demi hari dicubanya, tetapi anak gajah tetap tidak dapat melepaskan diri. Lama kelamaan, anak gajah tersebut tidak mahu mencuba lagi kerana takut dengan risiko kegagalan.

Setelah bertahun dalam keadaan begitu, anak gajah membesar sebagai gajah yang dewasa. Badan, kaki, dan anggota badan yang lainnya sudah turut membesar, melebihi rantai dan tiang yang menambatnya sejak kecil.

Secara logiknya, dengan sekali rentap sahaja, besi dan tiang tersebut sudah boleh tercabut. Sayangnya, gajah tersebut tidak pernah terfikir untuk berbuat sedemikian.

Kenapa?

Kerana ia sudah hilang keyakinan diri serta putus asa. Pengalaman gagal semasa kecil menyebabkan gajah itu tidak mahu mencuba lagi. Padanya ia tetap tidak mampu melakukannya.

Inilah bahana akibat keyakinan diri telah hilang. Dalam kehidupan kita sebagai manusia, apa yang dialami oleh gajah itu sering juga terjadi kepada kita. Terkadang, hanya sedikit kegagalan yang kita hadapi, kita terus berserah diri mengaku kalah serta tidak berusaha kembali untuk menebus kegagalan tersebut. Tanpa disedari, hanya sedikit sahaja lagi untuk kita mengecapi kejayaan. Dengan sedikit kegagalan, kita dapat mengecapi erti kejayaan dengan lebih manis lagi.


Share: