Monday, August 21, 2017

Kawal Rasa Marah

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png


Siapa yang tak pernah rasa marah? MPA juga sekali sekala ada rasa marah juga. Tidak salah untuk marah sebab rasa marah adalah sifat normal yang ada pada setiap individu, tetapi mestilah kena pada tempatnya. Rasa marah yang tidak kena pada tempatnya mampu memutuskan sesebuah perhubungan. Misalnya dalam perhubungan suami isteri, apabila rasa marah tidak dapat dikawal, ianya akan berakhir dengan penceraian. 

Rasa marah juga dikatakan mampu menjejaskan kesihatan seseorang seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, sakit kepala dan juga masalah penghadaman. Sekiranya rasa marah tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan kes jenayah, penderaan fizikal dan mental serta perlakuan ganas.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengawal rasa marah :
  • Apabila berasa marah, tarik nafas panjang-panjang. Beristighfar dan berzikir banyak-banyak. Berwudhuk dan bersolahlah dua raakat, mengadu kepada Allah segala permasalahan yang ada dan mohonlah kepada Allah untuk membantu mengubah sikap negatif tersebut.
  • Islam menganjurkan jika kita berasa marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika masih berasa marah, berwudhuklah sebab rasa marah itu dikatakan berpunca daripada syaitan yang berasal daripada api.
  • Jika boleh, elakkan diri sementara daripada situasi yang menyebabkan kita marah tersebut. Ucapkan kata-kata positif dan ingat perkara yang menggembirakan kita sehingga kita berasa rileks dan tenang.
  • Walaupun meluahkan itu lebih baik daripada memendam, biarlah ianya dilakukan dalam keadaan yang wajar dan tenang. Cuba letakkan diri pada ditempat orang yang terkena tempias rasa marah kita. Sekurangnya kita tahu ianya tidak wajar pada ketika itu.
  • Ajar diri untuk mendengar dengan lebih teliti dan lanjut. Ada sebabnya Allah anugerahkan kita dua telinga dan satu mulut. Supaya kita lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Mendengar boleh membantu memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan mendapat kepercayaan orang lain.
  • Jika keadaan semakin serius, dapatkan nasihat dan bantuan pakar samada pakar psikologi ataupun doktor kesihatan mental untuk membantu mengubah cara berfikir dan juga memperbaiki tingkah laku.
Tidak salah untuk marah, tetapi biarlah ianya untuk perkara-perkara yang wajar untuk kita rasa marah. Dapatkan pemahaman yang lanjut terlebih dahulu sebab kadangkala kita berasa marah untuk perkara yang tidak jelas. Semoga rasa amarah kita adalah rasa marah yang wajar dan kena pada tempatnya. Insya Allah.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share: