Cerita Cinta : Ahmad Ammar
Bismillahir Rahmaanir Rahim
Alhamdulillah
Alhamdullilah, hampir separuh buku Cerita Cinta : Ahmad Ammar telah saya baca dan saya amat terkesan dengan buku tersebut. Nampak perlahan sahaja pembacaan saya kan? Sebabnya saya hanya membaca semasa menaiki LRT sahaja untuk mengelakkan kebosanan serta masa yang terbuang begitu sahaja.
Alhamdulillah, perancangan Allah itu indah dan terbaik untuk hambaNya kerana Allah telah menegur saya dengan mempertemukan saya dengan buku ini yang sedikit sebanyak telah memberikan kesan serta kesedaran kepada saya tentang niat asal saya sewaktu mengandungkan anak sulung saya, Amir Syukur serta kenapa dinamakan dengan 'Amir Syukur', tidak nama lain. Besar harapan serta cita-cita yang saya telah letakkan namun saya seakan ter'tidur' tanpa sedar tentangnya.
Saya tidak mengharapkan yang terlalu tinggi kepada anak saya yang sulung ini, Amir Syukur menjadi seperti Ahmad Ammar; namun ada sesuatu yang perlu beliau laksanakan bukan sahaja untuk dirinya sahaja, malah keseluruhannya.
Saya merasakan buku ini sewajarnya dibaca oleh seluruh umat Islam terutamanya mereka-mereka yang bergelar ibu mahupun bapa kerana ada intipati penting yang sangat berguna dalam mendidik generasi baru.
Wallahuaklam.