Friday, April 25, 2014

Tazkirah Jumaat : Sesal Marah Anak

Bismillahir Rahmaanir Rahim
Alhamdulillah



Soalan : 
Saya seorang ibu yang bekerja. Bila bersama anak kadangkala saya cepat penat, jadi saya mudah memarahi mereka. Tetapi saya rasa menyesal selepas itu. Bagaimana saya boleh mengatasinya?

Jawapan : 
Yang pertama, kita mesti ingat, anak itu boleh mati bila-bila. Jadi dengan serta merta, rasa ingin marah itu akan hilang. Lihat keadaan orang yang sudah kehilangan anak, kalau boleh mereka hendak putar kembali masa bersama anak.

Saya ingin berpesan kepada para ibu yang penat bekerja. Kita jangan hanya penat fizikal, sebaliknya pastikan supaya rohani kita turut terbina. Jangan jadi seperti kebanyakan orang yang bekerja hanya untuk memenuhi keperluan hidup.

Kita pekerja yang mempunyai tujuan hidup. Bila kita bekerja dengan sifat kehambaan, kita pasti boleh bekerja dengan baik. Bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan dan laksanakan sebaik mungkin. Yakinlah bahawa segala kebaikan yang kita tabur ketika bekerja akan dibalas kepada anak-anak kita.
Sentiasalah berdoa : "Ya Allah Ya Tuhanku, bagaimana aku menjaga dengan baik urusan duniaku dan amanahku ini, Kau gantikanlah dengan kebaikan, keselamatan, kesihatan dan ketenangan untuk anak-anakku."

Sebelum pulang dari kerja, saya cadangkan kepada semua, pejamkan mata, bayangkan betapa seronoknya di rumah. Bayangkan wajah ceria anak-anak. Insya Allah, hidup kita akan menjadi lebih indah.

- Prof. Dr Muhaya Hj Muhammad, Motivasi Keluarga, al-Ustaz, Volume 02, No 24 -