Thursday, May 02, 2024

Selamat Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke-14

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Selamat Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke-14 buat Umie dan En Suami Umie. Kira aci lah ya wish dekat diri sendiri. Hehehe 😁

Sebenarnya saja nak letak sini sebagai kenangan buat kami dan meninggalkan kisah serta cerita buat anak cucu kami andai satu hari nanti mereka terjumpa blog ini dan membacanya. Maka tahulah mereka bila Umie dan Ayah mereka disatukan, ataupun nenek dan atok mereka ini berkahwin. Hehe 😍

Perkenalan kami bermula daripada tempat kerja dan sememangnya Umie sendiri tak sangka berakhir dengan perkahwinan sebab jujur, masa kerja dulu, Umie sejenis agak tegas juga dan dalam masa yang sama, selalu juga bergaduh dengan En Suami Umie ni disebabkan hal kerja.

Adatlah perempuan, ada kuota perkataan yang perlu mereka habiskan dalam sehari, jadi bila ada sesuatu isu tercetus, berderet kosa kata yang keluar dari mulut, dalam erti kata lain, membebel. Hahaha

Pada masa itu memang tak fikir lain, cari rezeki untuk bantu mak abah sekolahkan adik-adik. Walaupun adik beradik Umie tak ramai, tapi kos sara hidup di bandar dengan adik-adik ada yang belajar di Universiti, sedikit sebanyak membebankan juga buat mak abah Umie. Ditambah lagi Umie ni anak yang sulung, semestinya tugas bantu ibubapa tu atas bahu Umie walaupun Umie ni anak perempuan.

Alhamdulillah, jodoh kami sampai agak lewat sebab kami berkahwin di penghujung umur 20-an. Sebenarnya seminggu sebelum hari pernikahan kami, nenek Umie meninggal dunia di kampung di Johor. Masa itu, memang sedih sangat sebab cadangnya pada hari nenek meninggal, nak ambil nenek di kampung dan bawa duduk dengan kami. 

Tak sangka masa itu kebetulan abah ada di kampung, abah yang menguruskan semuanya dan kami adik beradik bergegas balik ke kampung di Johor. Nak batalkan, semua benda dah diatur, tinggal tunggu hari majlis saja. 

Jadi, kami teruskan saja dengan seadanya dan majlis doa selamat dilakukan pada sebelah malam majlis pernikahan Umie dan Encik Suami Umie. Setiap tahun, Umie pasti akan ingat tarikh keramat nenek Umie meninggal dunia. 😭

Nak dijadikan cerita, pada hari pernikahan Umie, Umie demam panas sebenarnya. Bertabahlah masa itu dengan selsema, sakit tekak dan batuk segala bagai, tetap teruskan juga majlis. Allah uji sebab Allah sayang. Insya Allah.

Alhamdulillah, majlis nikah, doa selamat dan resepsi selesai dengan baik dan boleh dikatakan adik beradik mak abah Umie yang majoriti daripada Johor hadir pada hari tersebut. Alang-alang sampai Kuala Lumpur kata mereka, sakan juga mereka berjalan di KLCC dan kawasan yang sewaktu dengannya. Seronok mereka.

Alhamdulillah, syukur sepanjang perkahwinan ini, Allah amanahkan sepasang zuriat sebagai tanggungjawab yang perlu digalas. Memang seronok ada anak tapi jangan dilupa tanggungjawab pada anak-anak tersebut yang semestinya akan disoal kelak di akhirat sana.

Semestinya dalam 14 tahun kami melayari rumahtangga, ada masam, masin, pahit dan manisnya, tapi Alhamdulillah, semuanya dapat kami lalui dan harungi dengan bantuan ahli keluarga dan kawan-kawan yang Allah hadirkan membantu.

Pengalaman 2 tahun sejak Umie mengandung anak solehah, iaitu anak kedua kami semestinya takkan kami lupakan. Bagaimana dalam masa 2 tahun tersebut, hospital menjadi rumah pertama kami. Setiap bulan ada sesi check-in yang paling sekejap 1 minggu dan paling lama 3 bulan. Alhamdulillah, merasa beraya di hospital dalam 2 tahun tersebut. Dalama masa 2 tahun ini juga, anak sulung kami harus belajar berdikari, tinggal dengan atok dan nenek sekejap, iaitu mak dan abah Umie bila adik dia dimasukkan ke hospital. Huhuhu

Terima kasih anak soleh Umie sebab memahami keadaan Umie dan Ayah waktu itu. Dan terima kasih juga buat anak solehah Umie sebab terus kuat dan tabah menghadapi ujian yang Allah kurniakan di awal kelahiranmu dulu. 💖

Mohon sahabat semua doakan semoga perkahwinan kami diberkati dan dirahmati Allah. Mohon doakan juga agar kami dalam berhimpun di dalam syurga Allah tanpa hisab dan azan serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan berkat serta tidak putus-putus hingga kami dapat menyumbangkan ia ke jalan Allah. Insya Allah, aamiin

Kami juga mendoakan yang sama buat sahabat semua dan semoga sahabat semua dimudahkan segala urusan baik di dunia mahupun di akhirat. Insya Allah, aamiin.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share:

Wednesday, May 01, 2024

Selamat Hari Pekerja

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Selamat Hari Pekerja semua pekerja termasuklah suri rumah dan suri hati encik suami masing-masing. Macam lambat tapi insya Allah, masih belum terlambat lagi. 😉

Kalau dulu, ramai yang menyangka kerja suri rumah ini senang, banyak masa rehat dan boleh ber'me-time' selalu serta boleh buat hobi yang mereka suka. Begitulah yang Umie sendiri pernah terfikir.

Tapi hakikatnya, suri rumah adalah orang yang pertama sekali bangun sebelum seisi rumah bangun dan orang terakhir sekali akan tidur selepas seisi rumah tidur.

Dalam selang masa itu, macam-macam pekerjaan dalam rumah perlu diselesaikan daripada dalam rumah sehinggalah ke luar daripada rumah, untuk pastikan kebersihan dan keselesaan seisi rumah.

Kalau ada anak kecil, perlu pula uruskan anak kecil dan selalunya, segala kerja bersihkan atau kemaskan rumah akan diselesaikan sebelum anak kecil bangun atau sewaktu anak kecil tidur. Umie pernah laluinya, rasa macam nak kuasa superman yang super laju tu masa itu.  Ataupun nak tangan sotong supaya dapat buat banyak kerja dalam satu masa. Fuh! Hehehe

Alhamdulillah, sekarang ramai mula buka mata dan faham tugasan suri rumah selepas ramai yang memilih mahupun cuba menjadi suri rumah untuk seketika sebelum memulakan kerja di luar rumah semula, terutama sewaktu zaman PKP Covid-19 suatu masa dulu yang memaksa semua berada di rumah dan bekerja dari rumah.

Mula dulu Umie jadi suri rumah, Umie sendiri pun letih, rasa macam tak cukup buat, tak sempurna dan stress sendiri. Namun setelah beberapa ketika, buat beberapa perubahan dan menerima kekurangan serta ketidaksempurnaan, Alhamdulillah, sekarang baru dapat adapt sepenuhnya. 

Bila uruskan rumah dan anak termasuklah uruskan hantar dan pergi sekolah, kadang terasa tak ada masa untuk diri sendiri mahupun untuk bersosial dengan kawan-kawan. Alhamdulillah, dengan pelbagai sosial media sekarang, dapat juga berjumpa dengan kawan-kawan walaupun secara alamaya. Cuma perlu betul-betul pilih circle yang sesuai dengan diri dan keadaan.

Sebab ada juga circle atau perkongsian yang boleh buat para surirumah ini rasa rendah diri dan tak bersyukur. Jadi, memang kena sangat pilih perkongsian yang membina diri dan elakkan perkongsian yang menyebabkan kita rasa stress sendiri dan rasa rendah diri.

Selain itu, kadang Umie sendiri leka juga dengan media sosial ini, sampaikan ada beberapa kerja yang Umie sendiri kurang gemar seperti lipat kain baju dan sebagainya terabai atau tertangguh. Jadi, perlu sangat hadkan masa bersama sosial media dan setkan masa untuk berada dalam sosial media. Insya Allah, ini yang sedang Umie usahakan. Doakan ya supaya Umie dapat bertahan. Fuh!

Senang cerita, ia lebih kepada pengurusan masa sendiri. Ada yang suka dengan sistem to-do list, ada yang suka dengan sistem block time, dan macam-macam lagi sistem pengurusan masa. Yang penting letak yang mana paling penting sekali di dahulukan.

Umie sendiri suka sistem to-do list sebab boleh selesaikan tugasan ikut masa kita, yang penting dapat selesai pada hari tersebut. Umie pernah cuba sistem block time, jadi stress sendiri bila Umie tak dapat laksanakan tugasan pada masa tersebut ataupun tugasan tersebut drag masa Umie untuk laksanakan tugasan lain. Lain orang lain caranya. Jadi, ikutlah keadaan diri masa kalian ya.

Ya, suri rumah juga perlu dihargai dan andai dapat encik suami yang amat memahami dan membantu dalam tugasan, semestinya ia satu bonus besar. Alhamdulillah, encik suami Umie amat memahami dan membantu kerja rumah. Selalunya dia yang uruskan pokok bunga di rumah kami, tugas Umie hanya siram pokok bunga setiap hari serta letak baja bila perlu. Sebab encik suami Umie minat alam semulajadi dan Umie pula just ok saja dengan alam semulajadi ni. Hehe

Ada yang encik suami belanjakan pergi spa buat isteri atau berikan sejumlah wang pada isteri untuk shopping barang peribadi sendiri. Ada juga yang cutikan isteri pada hujung minggu supaya isteri dapat berehat secukupnya. Rezeki masing-masing. Jadi ikatlah nikmat tersebut dengan selalu bersyukur. Sebab hakikatnya ramai yang cemburu dengan keadaan kita dan nak berada di tempat kita tanpa kita sedari.

Walau apa jua pekerjaan pun, lakukanlah dengan ikhlas dan terbaik serta niat untuk mendapat redha Allah. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala penat lelah kita dalam pekerjaan kita dan mengurniakan rezeki yang berkat dan melimpah ruah serta tidak putus-putus. Insya Allah.

SELAMAT HARI PEKERJA SEMUA! 😊

Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share: