Monday, November 21, 2022

Simpanan Shariah KWSP

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

Alhamdulillah direzekikan dengar kuliah Ustazah Asma' Harun pagi tadi. Ustazah ada menyentuh tentang Simpanan Shariah KWSP yang  katanya amat kurang yang bertukar daripada Simpanan Konvensional walaupun ada satu ketika dulu, ada disampaikan melalui kutbah Jumaat.

Alhamdulillah, Allah telah gerakkan hati satu masa dulu untuk bertukar ke Simpanan Shariah KWSP. Sebenarnya, pertukaran daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah KWSP tak berlaku secara automatik. Ahli sendiri yang perlu memohon pertukaran samada melalui saluran i-Akaun KWSP, Kaunter KWSP, kaunter layan diri KWSP dan Pasukan Bergerak KWSP.

Apabila telah bertukar kepada Simpanan Shariah KWSP, ahli tak boleh nak berbalik kepada Simpanan Konvensional lagi. Semestinya bila beralih kepada Simpanan Shariah KWSP, simpanan kita dilaburkan kepada saluran yang patuh shariah sebab KWSP ada Jawatankuasa Penasihat Shariahnya sendiri. Jadi, tak perlu bimbang dan ragu dengan simpanan kita.

Simpanan Shariah KWSP ini bukan hanya terhad pada orang Melayu yang beragama Islam dan warganegara Malaysia sahaja. Orang beragama lain, berbangsa lain dan warganegara luar pun boleh juga nak bertukar kepada Simpanan Shariah ini. Terbuka kepada semua tapi diingatkan sekali lagi ahli sendiri yang perlu memohon.

Dari segi dividen tahunan, Simpanan Shariah KWSP bergantung pada prestasi sebenar pelaburan patuh Shariah, tak seperti Simpanan Konvensional yang bergantung juga pada prestasi sebenar pelaburan dan tertakluk kepada kadar minimum 2.5%.

Memang nampak macam rendah sebab bergantung kepada prestasi sebenar pelaburan patuh Shariah, tapi sebaiknya kita yakin ianya bersumberkan daripada pelaburan patuh Shariah.

Beralihlah kepada Simpanan Shariah KWSP supaya duit yang akan digunakan kelak diyakini halal sebab patuh Shariah. Sekurangnya andai kita tidak sempat merasai duit KWSP kita nanti, kita yakin anak cucu kita yang akan mendapat bahagian masing-masing nanti adalah bersumberkan sumber pelaburan yang patuh Shariah.

Untuk baca lebih lanjut, boleh baca SINI. Semoga sedikit tindakan kita hari ini, memberikan ketenangan pada hati di masa akan datang. Insya Allah

Lot's of love,


Share: