Tuesday, February 18, 2014

Menegur tak salah tetapi...

Bismillahir Rahmaanir Rahim
Alhamdulillah

"Menegur tak salah tetapi..."

Kita sebagai manusia, memang gemar menegur andai ada silap dan kurang, tanda kasih sayang kita sesama manusia tetapi pada pendapat saya, biarlah berpada dan tidak berlebihan. Bukan apa, kita sebagai manusia biasa, hamba kepada Maha Pencipta, sering juga melakukan salah dan silap. Sebab itu adanya istilah 'Manusia semestinya tidak sempurna'.

Apa yang saya ingin sentuh di sini adalah, biarlah dengan cara berhemah dan tidak menghentam pihak yang dirasakan salah. Sebaiknya, selidik dahulu asbab kenapa ianya terjadi. Mungkin pihak tersebut mempunyai masalah dalaman samada tidak sihat atau sebagainya. Kita hanya manusia biasa pada pendapat saya tidak wajar menjatuhkan hukum kepada pihak terbabit takut-takut kita juga akan terjerumus pada kesalahan yang sama kerana adanya qada' dan qadar Allah.

Cara terbaik, tegur secara berhemah sebagaimana kita mahu orang menegur kita. Elakkan membuka aib orang lain kerana bimbangkan Allah membuka aib kita pula. Cuba letakkan kita di tempat orang tersebut, insya Allah kita akan lebih memahami dan lebih menyayangi antara kita. Begitu jugalah dalam menyebarkan ilmu mahupun berdakwah, kita sangat-sangat disarankan untuk menegur secara berhemah. Tidak salah menegur secara berdepan tapi sebaiknya elakkan menggunakan bahasa yang mengguris hati dan perasaan orang lain.

Sentiasa ingat bahawa niat tidak menghalalkan cara. Walaupun niat kita menegur, sebaik-baiknya berada dalam keadaan tenang dan sebolehnya menggunakan perkataan, bahasa dan lenggok bahasa tubuh yang terbaik agar pihak yang menerima teguran berasa tenang dan menerima dengan sebaiknya. Saya rasakan ianya lebih berkesan berbanding menegur dalam keadaan marah, bahasa yang menyakitkan hati serta pihak yang menerima teguran turut akan marah.

Andai teguran diambil secara enteng, rasanya tidak perlu beremosi malah berdoalah kepada Allah agar dibukakan pintu hati pihak yang ditegur berubah kerana kita tidak ada kuasa dan hak dalam mengubah orang, hanya Allah sahaja yang mempunyai hak tersebut. Berdoalah perkara yang baik-baik semoga perkara yang baik tersebut turut didoakan oleh malaikat kepada kita.

Wallahuaklam.
Share: