Tuesday, January 06, 2015

Usah terus hidupkan suis elektrik – TNB

Bismmillahir Rahmaanir Rahim photo vectorbismillahpink2.png


PETALING JAYA 5 Jan. – Mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak dinasihatkan supaya tidak terus menghidupkan suis bekalan elektrik apabila kembali ke rumah masing-masing, sebaliknya terlebih dahulu memastikan semua peralatan elektrik dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Pengurus Besar Kanan (Operasi - Wilayah 2) Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Abdul Aziz Abdul Majid berkata, bagi mendapatkan khidmat nasihat, mangsa-mangsa banjir boleh menelefon pusat perkhidmatan pelanggan TNB Careline di talian 15454.

Beliau memberitahu, jika papan suis utama atau papan agihan di rumah mangsa-mangsa banjir ditenggelami air dan rosak, mereka dinasihatkan supaya menghubungi kontraktor pendawaian elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk membaikinya.
Beliau berkata, mereka boleh melayari laman web www.st.gov.my untuk mendapatkan senarai penuh kontraktor tersebut.

“Kerja-kerja pemulihan tenaga elektrik akan dimulakan sebaik sahaja pihak kami mendapat akses ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir dan ia dilakukan secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya pencawang elektrik ditenggelami air akibat banjir, pihaknya perlu mencuci dan memastikan tahap keselamatannya terlebih dahulu, yang akan memerlukan masa beberapa jam sehingga sehari.

Beliau menjelaskan, setakat ini, 96 peratus daripada 1,960 pencawang elektrik di Kelantan telah dipulihkan, 61 peratus di Perak, di Pahang 86 peratus manakala di Terengganu, kesemua 155 pencawang telah dipulihkan.
~ Sumber : Utusan Online

Alhamdulillah, banjit pon sudah mulai surut dan ramai yang dah pulang ke rumah masing-masing. Tapi ingat ya pesanan TNB di atas. Rujuklah pada mereka yang pakar dalam bidang tersebut. 

Jaga diri baik-baik ya semua. ^_^

Share: