Entri kali ini entri emosi sikit bagi MPA. Walaupun tak kena pada batang hidung MPA, sekurangnya ianya menjadi tauladan dan sempadan buat semua.
Bila menjaga anak sakit lebih-lebih lagi di hospital, tidak dinafikan pelbagai emosi ada dalam diri ibu atau bapa yang menjaga. Tidak dinafikan, kadangkala emosi menguasai diri kita. Walaubagaimanapun, niat tidak pernah menghalalkan cara.
Memang betul anak yang kita jaga sakit, tetapi perlu juga ingat yang mungkin anak orang lain lagi kritikal daripada anak kita, kita tidak tahu. Jadi, andai permintaan kita tidak dilayan oleh jururawat, peringatkan mereka semula. MPA bukan jururawat tapi MPA terkesan untuk nasihat menasihati.
Jururawat juga ada salah dan silapnya. Mereka juga manusia. Jangan sekali mereka tersilap, kita terus menghukum mereka. Ingat yang kita pun ada salah dan silap.
Tidak kisahlah kita ini ada sijil tinggi atau berpangkat besar, sentiasa ingat yang tidak selamanya kita di atas. Ada waktu dan ketikanya, kita di bawah. Itu semua tidak mustahil.
Jadi, banyakkan bersabar. Tidak perlulah mengatakan kepada semua orang tentang sijil dan pangkat kita itu. Merendah diri lebih baik. Jangan ingat orang takut dengan sijil dan pangkat yang kita ada itu. Silap-silap, orang jadi meluat mendengarnya.
Lagi satu, tidak perlu sehingga bermain sumpah seranah orang. Takut-takut memakan diri kita semula. Tak perlu mengatakan yang diri kita ini orang yang kuat bersembahyang dan kuat berpuasa semuanya. Bimbang apa yang kita banggakan itu tiada nilainya di sisi Maha Pencipta.
Yang paling penting, tidak perlulah menghebahkan segalanya pada semua. Nanti elok-elok orang nak jaga anak kita, jadi menyampah dan sambil lewa pula nanti.
Jika kita berada di wad kelas satu, bolehla anak kita dapat layanan yang terbaik. Tetapi bila kita berada di wad kelas tiga, jangan sesekali mahukan layanan kelas pertama, lebih-lebih lagi di hospital kerajaan. Terima apa adanya dan berusaha untuk belajar melakukan sendiri apabila diajar oleh jururawat. Bila pesakit tidak ramai, bolehla jururawat melayan anak kita dengan teliti. Tetapi bila pesakit ramai, terutama ada beberapa kes kritikal yang perlu perhatian jururawat yang lebih, berdikarilah dan tak perlu mengharap bantuan semata.
Kepada individu yang terbabit, MPA minta maaf sebab mungkin nampak seakan MPA menjarakkan sedikit pergaulan. Bukan apa, MPA tak nak terpengaruh dengan sikap sebegini. Tidak dinafikan MPA juga ada mengalami perkara yang tidak baik, tapi MPA cuba bersangka baik dan cuba memahami keadaan mereka pada waktu itu. MPA sentiasa ingat yang bila kita fikir orang lain tidak betul, adakah kita ini sudah cukup betul?
Berlapang dada dan terima dengan redha apa adanya. Jangan meninggi diri kerana ada masanya kita akan berada di bawah. Kita menceritakan aib dan keburukan orang lain, pada masa yang sama aib kita sedang terbuka.
Minta maaf semua. Entri kali ini memang panjang dan merupakan entri luahan perasaan. Geram MPA dengan sikap sebegini. Harap-harap sahabat MPA tidak sebegini ya. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Mudah-mudahan bermanfaat buat semua.
Wallahua'lam