Thursday, April 25, 2024

Jamuan Raya Sana Sini

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Disebabkan istilah raya sebulan, sana sini banyak jamuan raya, baik di sekolah, di pejabat mahupun di rumah. Ada yang perlu dimasukkan dalam kalendar sebab berderet, takut ada terlepas mana-mana jemputan pula nanti. Kalian pun macam ini juga ke?

Insya Allah, pejabat suami Umie ada mengadakan jamuan raya hari ini dan suami Umie ditugaskan di bahagian teknikal. Suami cerita majlis daripada tengahari sampai malam. Amboi sangat macam tu. Makan makanan jamuan raya la nampaknya suami Umie hari ni. Hehehe

Insya Allah, bahagian anak-anak pula esok jamuan raya di sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Tengok pada menu yang berderet sebab tema potluck, Umie yang rasa pening nak pecah perut sebab macam-macam makanan sedap ada. 

Selalu cikgu pesan suruh bawa pinggan plastik, sudu dan garfu serta cawan plastik untuk kegunaan sendiri nanti, tapi Umie selalu bawakan mereka bekas makanan terus. Bukan mengajar mereka untuk bungkus makanan yang ada dan bawa balik, tapi memudahkan mereka andai makanan yang mereka makan sendiri tak habis, boleh masuk dalam bekas makanan dan bawa balik. 

Tambahan bila mengenangkan keadaan saudara kita di Palestin sana, rasa sedih pula makanan dibuang macam itu saja. Sekurangnya, bila bawa balik, boleh kongsi dengan adik beradik lain. Sebab menu kelas masing-masing semestinya lain. Sekurangnya boleh la berkongsi rasa sesama adik beradik.

Hujung minggu pula nanti ada jemputan jamuan raya di rumah rakan sekerja suami Umie. Kedudukan jamuan agak jauh juga tapi kata suami Umie, bersungguh rakan sekerja dia mengajak datang. Tak sedap pula tak datang. Alamatnya dapur Umie tutup ya hujung minggu ni. Hehehe

Untuk cuti Hari Pekerja nanti pun kami sudah dapat jemputan jamuan raya oleh jiran kami. Senang cerita, ada saja cuti, memang akan penuh jemputan sana sini untuk majlis jamuan raya sekarang ini. Sediakan perut jawabnya dan pastikan pakaian agak longgar serta selesa. Almaklum, nanti bila perut dah terisi, tak lah terasa sendat pula nanti. Hehehe

Sebab itu wujudnya kata-kata bulan puasa berat turun menjunam, tapi lepas raya naik berganda-ganda. Hahahaha

Almaklum, makanan sedap-sedap. Tapi tak boleh salahkan jamuan raya juga sebenarnya. Lebih kepada kawalan terhadap nafsu dalam diri setiap daripada kita. Kalau makan ikut selera yang sentiasa terbuka, memang tak dinafikan berganda naik berat. Tapi bila makan sekadar rasa dan seadanya, Insya Allah, segalanya akan terkawal.

Yang paling penting, kawal pengambilan makanan dan minuman terutama berlemak dan manis. Dalam nak menikmati makanan yang pelbagai, kesihatan juga perlu diambil berat juga. Tak pasal habis saja Syawal, ramai yang 'check-in' hospital pula nanti.

Dalam menikmati makanan juga, elakkan pembaziran. Ambil dalam portion yang sedikit dulu, orang kata buat rasa rasa. Sebab kadang nampak sedap dan bagi orang lain sedap tapi rupanya bagi kita tidak, almaklum setiap dari kita berbeza citarasa.

Dalam sibuk menikmati juadah, jangan dilupakan tujuan utama jamuan adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara tuan rumah dan para jemputan. Bergurau ada batasannya. Jaga adab dan tutur kata. Sebenarnya ini lebih kepada nasihat pada diri Umie sendiri sebab kadang diri ini terlupa juga bila seronok sangat. Risau juga pada anak-anak andai mereka terlepas kata, terkurang adab.

Semoga dimudahkan semua urusan baik tuan rumah mahupun jemputan serta diberkati Allah di atas majlis yang diadakan. Insya Allah.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share:

Wednesday, April 24, 2024

Salam takziah buat mangsa tragedi helikopter terhempas

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

Innalillahi wainnailaihi rojiun. 
Daripada Allah kita datang dan kepada Allah jua kita akan kembali.

Semalam seluruh negara dikejutkan dengan tragedi 2 helikopter terhempas di Kem Tentera Laut di Lumut, Perak yang mengorbankan 10 parajurit negara. Salam takziah buat ahli keluarga parajurit yang terlibat.

http://mamapapaamir.blogspot.com
Kredit : Fb page Ustazah Asma' Harun

Umie pernah sekali ke kem tentera tersebut semasa pakcik suami Umie masih bertugas sebagai ahli tentera laut, tapi sekarang beliau sudah pencen. Itu pun pergi disebabkan jemputan rumah terbuka hari raya. Besar juga kem tersebut siap ada sekolah sendiri dalam tu. 

Nak pusing lebih-lebih memang tak berani sebab tahu ada kawasan-kawasan merupakan kawasan larangan, sebagaimana kem polis yang pernah Umie duduk masa kecil dulu. Cuma kebetulan dalam laluan nampak papan tanda jalan dan sekolah itu sendiri, di tambah isteri pakcik suami Umie rajin bercerita.

Jujur, Umie terasa sedih dengan berita ini terutama bila lalu di media sosial Umie sendiri. Terbayang bagaimana keadaan anak-anak dan ahli keluarga mereka menghadapi berita sebegini, tapi inilah lumrah kehidupan parajurit negara, nyawa selalu menjadi taruhan mereka baik sewaktu dalam latihan mahupun dalam tugasan.

Yang lebih menyedihkan, Umie dapat tahu salah seorang daripada mereka merupakan adik angkat isteri pakcik suami Umie dan selalu juga beli hasil masakan isteri pakcik suami Umie sebab isteri suami pakcik Umie memang minat sangat masak, suka membuat kek mahupun makanan berlauk terutama makanan yang berasal daripada Sabah sebab beliau merupakan orang Sabah.

Bila nampak posting isteri pakcik suami Umie, pasti beliau sedang bersedih juga sebab kenal sangat dengan mangsa yang terkorban itu. Umie percaya kebanyakan yang terkorban kemungkinan besar kenalan ataupun sahabat pakcik suami Umie juga.

Bila kenal, lebih lagi yang rapat, semestinya terasa benar kehilangan mereka dan pasti terkenang apa yang pernah dilalui bersama. Tambahan kenal sungguh dengan ahli keluarga mereka, pasti terasa dan terfikir bagaimana keadaan ahli keluarga mereka terutama yang ada anak-anak yang masih kecil lagi.

Tapi begitulah lumrah hidup, setiap yang hidup pasti akan mati dan cara pengakhiran masing-masing yang belum tahu lagi bagaimana. Mereka sudah selesai dan kita juga bakal menyusul.

Semoga pengakhiran mereka merupakan pengakhiran khusnul khatimah buat yang beragama Islam serta dikurniakan syurga Allah tanpa hisab dan azab. Insya Allah, aamiin.

Buat mangsa yang bukan beragama Islam, semoga dimudahkan urusan pemakaman mereka sebagaimana menurut agama mereka masing-masing.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share:

Tuesday, April 23, 2024

Tahniah buat semua calon UPKK 2023/2024

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com
Alhamdulillah. Seronok tengok media sosial minggu lepas, ramai yang update kejayaan anak-anak masing-masing peroleh keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan UPKK yang lepas. Tahniah buat semua calon UPKK 2023/2024.

Kepada yang kurang bernasib baik kali ini, usaha lagi untuk kejayaan masa depan. Insya Allah, ini cuma permulaan perjalanan yang masih panjang lagi. Biiznillah, kejayaan tetap akan muncul satu hari nanti. Insya Allah

Alhamdulillah, anak soleh Umie juga salah seorang calon UPKK 2023/2024 yang lepas. Masa hari keluar keputusan sebelum Amir sendiri yang tengok keputusan dia dulu, Umie tanya Amir :

Umie : Amir target dapat berapa dalam periksa UPKK?
Amir : 7A kot Umie, sebab Bahasa Arab tak berapa yakin dapat A.
Umie : Kalau dapat 8A atau 7A macam target Amir?
Amir : Alhamdulillah
Umie : Tapi kalau dapat 6A atau kurang lagi macamana?
Amir : hmmmmm....

Umie pun cakaplah, kena cakap Alhamdulillah juga sebab Amir kan dah usaha sehabis baik. Ustazah Ustaz pun dah buat macam-macam masa nak ambil periksa tu. Tapi Allah kata nanti dulu, belum lagi, jadi kena ucap syukur juga.

Kecewa memang akan rasa juga sikit, tipulah tak kecewa. Tapi tetap baik sangka pada Allah sebab agaknya Allah nak elak kita daripada timbul riak, ujub, takkabbur di masa akan datang. Insya Allah, usaha dan cuba lagi tahun ini untuk PSRA pula.

Bila periksa keputusan, benarlah, Amir hanya dapat 6A sahaja tapi Alhamdulillah, nampak dia cepat move on, boleh senyum dan bergurau dengan adik dia, walaupun kena tazkirah dulu sikit kejap. Hehehe

Satu perkara yang Umie perasan tentang Amir, dia seorang yang meluahkan apa yang dia rasa dalam lukisan sejak dia kecil lagi dan lepas kejadian dia dapat keputusan tu, dia banyak melukis. Umie biarkan saja sambil itu galakkan dia jangan putus asa sebab Umie sendiri pun pernah alami kekecewaan dalam keputusan peperiksaan.

Umie dulu pernah berada di kelas pertengahan, kelas depan sekali dan berakhir dengan kelas belakang sekali. Almaklum dulu-dulu kan stail exam oriented. Jadi, Alhamdulillah, rezeki ada kenalan dan kawan dari kelas depan sekali (kelas budak pandai) sampailah kelas belakang sekali (orang labelkan sebagai kelas budak nakal).

Sebenarnya kelas budak pandai atau budak nakal tak ada beza pun sebab kelas budak pandai ada saja budak nakal yang cikgu masuk kelas, dia keluar ikut pintu belakang. Dan kelas budak nakal pun ada yang buktikan mereka boleh cemerlang macam sama level dengan budak pandai. Ini yang Umie sendiri nampak dan alami.

Cuma bila berada di kelas budak pandai, kena kuat semangat untuk bertanding dan berlawan sesama rakan dan bila di kelas budak nakal, kena kuat semangat untuk belajar dan bantu kawan-kawan yang lain.

Walau apa pun, ini merupakan permulaan. Ada banyak lagi ujian mahupun peperiksaan yang akan di hadapi kelak. Teruskan usaha dan jangan putus asa. Mana yang kurang, usahakan lebih untuk kejayaan lebih cemerlang. 

Selalu selitkan dalam fikiran bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Setelah segala usaha telah dilakukan tapi keputusan masih kurang memberansangkan, Allah belum izinkan ia berlaku sebab ada yang terbaik sedang menunggu kita. Teruskan bersangka baik pada Allah dan teruskan berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh.

Insya Allah, kejayaan akan menjadi milik kita satu masa nanti, jika tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak. Siapa tahu kan?


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share:

Wednesday, April 17, 2024

Salam Aidilfitri. Maaf zahir batin.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Sudah 8 Syawal. Jamuan raya di rumah mahupun di pejabat mula sana sini. Opst, sebelum terlupa, Salam Aidilfitri semua. Maaf zahir batin. 

Walaupun agak saya ucapkan pada semua, tapi sementara masih di bulan Syawal, kira boleh ya. Hehe

Alhamdulillah, tahun ini saya beraya di rumah mentua di Perak. Rezeki tahun ini Allah beri dapat berkumpul dengan adik beradik ipar dan juga saudara mara suami walaupun adik suami baru saja kehilangan suaminya awal tahun baru ini akibat kanser paru-paru.

Bila melayari media sosial, ramai yang kehilangan kesayangan sama ada ibu ayah mahupun pasangan. Saya akui sakit merindui kehilangan memang perit. Setiap kali teringat memang boleh mengalir air mata.

Apa yang terbaik, kita doakan dan sedekahkan Al Fatihah buat mereka sebagai tanda rindu dan kasih kita pada mereka.

Saya sendiri masih teringat dan merindui pada arwah nenek dan datuk pada kedua-dua ibu bapa saya, arwah pakcik makcik dan juga arwah adik angkat keluarga saya. Jujur, bila setiap kali teringat, memang mengalir air mata.

Kadang boleh pula terfikir kalau lah mereka masih ada lagi dan dapat melihat keadaan saya sekarang ini, tapi saya percaya, Allah lagi Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Doa saya semoga kalian yang pertama kali mahupun sudah beberapa kali meraikan hari lebaran ini tanpa kesayangan, semoga dikurniakan ketabahan, kekuatan, kesabaran, keredhaan dan ketenangan dalam menghadapi hari mendatang.

Semoga kesayangan kita di tempatkan di kalangan hambaNya yang beriman. insya Allah.

Sekali lagi, Salam Aidilfitri daripada saya sekeluarga serta Maaf Zahir dan Batin buat semua.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share: