بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bahang pilihanraya tidak perlu diperkatakan lagi. Rasanya bukan setakat bahang, hangat membara lagi. Anggota keselamatan negara seperti polis dan tentera sudah menunaikan kewajipan mereka untuk mengundi secara undi pos. Jadi, tinggal orang awam sahaja lagi keluar mengundi 2 hari lagi. Kempen mengundi ada di mana-mana, sehingga tidak terkecuali kempen mengundi di grup Whatsapp.
Rasanya bukan MPA sahaja yang terkesan dengan kempen pilihanraya di grup Whatsapp ni. Ramai rasanya yang turut menghadapinya. Pada pendapat MPA, untuk berkempen di grup Whatsapp, Telegram atau mana-mana saluran sekalipun, biarlah ianya sesuai dan dipersetujui oleh admin dan ahli dalam kumpulan tersebut.
Mungkin admin boleh bagi tempoh masa atau had untuk berkempen ataupun membincangkan hal berkaitan pilihanraya. Tapi apabila cukup tempoh masa yang telah diberikan, hormatilah admin dan ahli kumpulan tersebut dan berbaliklah semula kepada perbincangan berkaitan tujuan asal penubuhan kumpulan tersebut.
MPA mohon sebolehnya hormati pandangan orang lain sebab semua orang ada pandangan dan pendapat masing-masing. Elakkan terlalu fanatik dan mudah melenting apabila terdapat perbezaan pendapat dan pandangan.
MPA tidak nafikan dalam bahang pilihanraya sekarang ini, ada sesetengah perkara atau kenyataan seseorang diambil hanya sebahagian sahaja sehinggakan menimbulkan salah faham kepada pihak lain. Ada juga sesetengah perkara ditokok tambah atau di salah tafsirkan sehingga menimbulkan ketidaksenangan di pihak lain.
Sebolehnya, selidik dahulu segala apa maklumat yang kita terima dan jangan mudah percaya dan ambil ia secara terus. Sebaiknya, dapatkan kesahihan maklumat tersebut untuk mengelakkan salah faham dan ketidaksenangan pihak lain. Elakkan menyebar sebarang gambar atau penyataan sebelum diselidik. Bukan apa, bimbang ianya merupakan fitnah dan perkara yang tidak benar.
Pendek kata, hormati admin dan ahli kumpulan. Ingat kembali tujuan kita sertai kumpulan tersebut. Jangan disebabkan sikap fanatik dan mudah melenting kita itu menyebabkan kita hilang kawan dan orang yang rapat dengan kita. Berkempenlah mengikut saluran yang telah ditetapkan. Kalau admin kumpulan tersebut bersetuju untuk membuka peluang berkempen, gunakanlah dengan bijak dan sebaiknya.
Semoga tempoh berkempen dan pilihanraya yang tinggal beberapa hari ini berlaku dengan aman damai tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Selamat mengundi semua!
Lot's of love,