Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdulillah
Assalamualaikum
Sempena Hari Raya ni, rasanya kita kena tau serba sedikit tentang adab-adab menerima dan sebagai tetamu...tiada niat pon untuk menyindir dan membuat sesiapa terasa, cuma sebagai panduan dan peringatan buat diri saya dan sesama kita...rasanya tak salah kalau kita saling ingat mengingatkan kan?...saya pon selalu lupa jugak...kadang2 guna trademark gak, 'maklumla, banyak urat dah putus'...hehehehe
ADAB MENERIMA TETAMU
1. Memberikan layanan yang baik
~ Tetamu seharusnya dilayan dengan baik. Bertanya khabar tetamu yang datang. Buka pintu rumah jika terdengar ada tetamu yang memberi salam. Jangan malas untuk membuka pintu atau melengah-lengahkan masa untuk menjemput tetamu masuk kerana mereka akan menganggap anda tidak suka kedatangan mereka.
2. Menyediakan jamuan yang termampu
~ Orang-orang tua pada zaman dahulu memang sangat suka menerima tetamu dan melayan mereka dengan sehabis baik disertakan dengan hidangan kelas pertama. Namun ia mengikut kemampuan tuan rumah untuk menghidangkan jamuan kepada tetamu yang datang. Jika tidak mampu, memadai dengan makanan yang biasa saja. Kalau hanya terdapat air 'bujang' atau biskut kering saja, tidak salah untuk menjamu mereka.
3. Menunjukkan wajah yang manis
~ Senyum ketika menerima tetamu tidak kira siapa juga mereka itu pada anda. Ingat jangan sesekali membuat muka yang tidak senonoh atau tidak disenangi di hadapan tetamu kerana mereka akan terasa hati dengan perlakuan anda walaupun dalam ketika itu anda dalam keadaan penat agar tidak timbul fitnah dibelakang anda nanti.
PERANAN KITA SEBAGAI TETAMU
1. Mengunjungi rumah kawan pada waktu yang sesuai
~ Elakkan pergi beraya pada waktu malam kerana berkemungkinan tuan rumah sedang berehat selepas penat melayan tetamu pada siang hari. Tetamu juga diingatkan agar tidak duduk dan bersembang dengan tuan rumah terlalu lama sehingga menggangu urusan peribadi tuan rumah yang lain.
2. Berilah salam sebelum masuk ke rumah
~ Adab sebagai seorang Islam sebelum masuk ke rumah orang lain haruslah memberikan salam dan selepas salam dijawab oleh tuan rumah, baru tetamu boleh masuk ke rumah tetapi jika salam tidak disambut, tetamu mesti menunggu dengan sabar diluar rumah sehingga tuan rumah keluar dan menjemput masuk.
3. Elakkan mata daripada meninjau keadaan di dalam rumah.
~ Perkara ini yang sering kali tetamu amalkan di mana suka melihat barang-barang atau almari kabinet tuan rumah terutama jenama yang digunakan. Sikap ini tidak harus anda lakukan semasa di rumah orang lain. Namun, jika tuan rumah baru membeli barang baru seperti perhiasan di rumah dan anda teringin melihatnya, minta izin dulu daripada tuan rumah sehingga dia membenarkannya.
4. Memuji makanan yang disediakan
~ Harus diingatkan agar anda bermanis mulut ketika menjamah makanan yang tuan rumah sediakan. Cuba ikhlas dalam kata-kata pujian itu tetapi jika makanan yang dihidangkan tidak memenuhi citarasa anda, jangan sesekali memberikan komen negatif yang tidak enak didengar.
5. Tidak tunggu di hadapan pintu rumah
~ Selepas memberi salam, anda berdiri dan tunggu tuan rumah membuka pintu di tepi dinding yang berhampiran dengan pintu rumah. Ini bertujuan agar tuan rumah tidak malu jika pakaian yang dipakainya terdedah atau menampakkan aurat. Tetamu juga harus menunggu dengan sabar dan memberi masa kepada tuan rumah untuk menjemput masuk. Sebelum pulang, ucapkanlah terima kasih dengan layanan yang diberikan.
Semoga panduan ini dapat memberikan kita sedikit panduan dalam menziarah mahupun diziarahi oleh sahabat-sahabat kita. Insya Allah
Wallahua'lam
Credit to Harian Metro, 12 Ogos 2013.