Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdulillah
Assalamualaikum
..:: DOA UNTUK ANAK-ANAK ::..
Hari ini saya mahu kongsikan DOA yang mudah dan cepat serta pendek, yang paling senang untuk diamalkan oleh kedua ibu bapa untuk anak-anak, tetapi sering sahaja terlepas pandang.
Doa itu adalah :
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIRWABARAKATUH, YA ... (sebutkan nama penuh anak)
Ya, itu sahaja baris doanya. Mudah bukan? Tetapi termasuklah saya, sangatlah selalu terlepas pandang akan keistimewaan doa ini. Ok, mari kita catatkan mengapa doa ini terlalu istimewa untuk anak-anak kita :
1. ASSALAM - Sejahtera
Awal-awal lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita pada hari itu. Kita mendoakan segala kesejahteraan buat dirinya pada waktu itu.
2. WARAHMATULLAH : Rahmat Allah
Kita mengharapkan rahmat Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka. Bukankah rahmat Allah itu sangat-sangat kita harapkan?
3. WABARAKATUH : Berikan Berkat Kepadanya Wahai Allah
Kita mendoakan anak-anak kita diberi berkat oleh Allah, dalam setiap amalannya, perbuatannya, dan apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya, kita mahukan keberkatan untuknya.
Kata ustazah, waktu paling bagus untuk mengucapkannya buat si anak adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. Bayangkan sahaja lah, celik-celik matanya sahaja sudah memperoleh doa dari ibu atau ayah atau menjemput dia dari sekolah, atau bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya untuk anak.
Jiwailah salam dan doa ini. Hauyati setiap rangkai maksudnya. Tujukan dengan penuh kasih dan cinta buat si anak. Senyum penuh sayang kepada mereka, ketika kita mengucapkan. Semoga anak-anak kita sentiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan sentiasa diberi keberkatan dalam hidup mereka oleh Allah. Aamiin.