Alhamdulillah
Selamat datang bulan Mei. Fuh, cepat betul masa sekarang. Dah bulan Mei. Nanti tup tup, tau tau dah bulan Disember.
Hari ini juga merupakan Hari Buruh. Cuti umum buat semua rakyat Malaysia. Kesempatan cuti 3 hari ini, ramai juga yang balik ke kampung. Seronoknya. Namun tak kurang juga ada yang mengadakan kenduri samada kenduri khawin, kenduri doa selamat dan ada juga yang mengadakan kenduri sambut puasa. Almaklum, tak lama lagi kita akan mula berpuasa Ramadhan.
Alhamdulillah, hari ini juga merupakan hari ulangtahun perkahwinan MPA yang ke-7. Rasa kejap je sudah 7 tahun. Kalau sebelum-sebelum ini, MPA meraikannya di kampung suami di Bagan Datoh. Tetapi tahun ini, MPA tidak kemana-mana, hanya di rumah sahaja. Semua disebabkan faktor kesihatan puteri MPA, Ain Humaira. Doktor sudah menasihatkan supaya tidak membawa Ain ke mana-mana. Alhamdulillah, mentua faham dengan masalah yang sedang MPA sekeluarga hadapi. Jika berkesempatan, mungkin suami dan putera MPA, Amir Syukur yang akan balik ke kampung. MPA akan berada di sini menjaga Ain. Mudah-mudahan ianya hanya sementara waktu, insya Allah.
Tidak dinafikan memang banyak cabaran dan dugaan sepanjang 7 tahun ini. Semua orang diuji, kami juga tidak terkecuali. Apa yang dapat MPA dan suami lakukan adalah banyakkan bersabar. Kadang-kadang ada juga 'hangin' MPA sampai. Alhamdulillah, suami MPA jenis penyabar. Terima kasih banyak-banyak.
Bila anak sering tak sihat, kadang-kadang terlintas juga pemikiran negatif. Apa yang MPA dan suami lakukan adalah melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada kami. Alhamdulillah, sebenarnya besar hikmah apabila Ain selalu dimasukkan ke wad. Sebab MPA dapat lihat dan tahu ada lagi yang kritikal daripada Ain dan ada lagi yang kurang bernasib baik daripada kami. Agaknya Allah nak MPA dan suami terus kuat, bersabar dan tidak mudah mengalah dengan apa jua cabaran yang datang terutama bila ianya melibatkan anak.
Semoga MPA sekeluarga dan juga sahabat-sahabat MPA di sini juga kuat, sabar dan tabah menghadapi apa jua yang terjadi dalam perjalanan hidup kita. Anggaplah ianya sentuhan kasih sayang daripada Sang Pencipta kita, Allah Taala. Jika merasa lelah, rehat seketika. Renung dan fikirkanlah segala yang terjadi di sekeliling kita. Insya Allah, kita akan lebih bersyukur dan menghargai segala apa yang kita ada, insya Allah.
Wallahua'lam