Monday, April 10, 2017

Berhentilah menyalahkan sesiapa jua

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Alhamdulillah

Menemani anak di hospital, bermacam ragam, keletah dan cerita dapat MPA lihat. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Yang baik, kita jadikan teladan. Yang tidak baik, kita jadikan pengajaran.

Hampir 2 bulan juga MPA tinggal di hospital kali ini, pada waktu entri ini ditaip. Tempoh yang paling panjang setakat ini. Sebelum ini, paling lama hanya sebulan dan paling kurang hanyalah seminggu sahaja.

MPA teringin untuk menyentuh satu perkara iaitu, walau apapun yang terjadi pada anak kita, anggaplah ianya ujian dan dugaan daripada Maha Pencipta kita. Tidak perlu terus menerus menyalahkan sesiapa atas apa jua yang berlaku.

Mungkin dulunya anak kita seorang yang ceria dan sihat walafiat, dan pada suatu hari dia jatuh sakit, janganlah terus menerus menyalahkan seseorang atas apa yang berlaku, terutama bila ianya melibatkan pasangan kita.

Semestinya pasangan kita sudah merasa bersalah atas apa yang berlaku, cukuplah kita menyalahkannya dan bersama-samalah berusaha mendapatkan rawatan yang terbaik buat anak tersebut.

Jika MPA di tempat pasangan tersebut, memang MPA merasa bersalah sangat, tetapi bila pasangan terus menerus menyalahkan MPA, terasa tekanannya memang tinggi. Senang cerita, cuba kita letakkan diri kita di tempat orang tersebut, bagaimana rasanya. 

Perlu diingatkan, letak ego seketika di tepi demi kesembuhan anak. Cuba segala cara yang diketahui dan yang diajari selagi mana ianya tidak menyalahi syariat agama. Sentiasa mohon pada yang Maha Esa kesembuhan anak.

Ada sesetengah penyakit boleh sembuh dengan segera dan ada sesetengah penyakit memerlukan masa yang panjang untuk sembuh. Walaubagaimanapun, sentiasa percaya pada percaturan Allah Taala kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Sentiasalah mohon diberikan hati yang redha, tabah dan sabar buat kita dan pasangan di atas apa jua yang berlaku. Insya Allah, hati merasa tenang menghadapi apa jua yang mendatang.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share: