Thursday, May 02, 2024

Selamat Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke-14

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Selamat Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke-14 buat Umie dan En Suami Umie. Kira aci lah ya wish dekat diri sendiri. Hehehe 😁

Sebenarnya saja nak letak sini sebagai kenangan buat kami dan meninggalkan kisah serta cerita buat anak cucu kami andai satu hari nanti mereka terjumpa blog ini dan membacanya. Maka tahulah mereka bila Umie dan Ayah mereka disatukan, ataupun nenek dan atok mereka ini berkahwin. Hehe 😍

Perkenalan kami bermula daripada tempat kerja dan sememangnya Umie sendiri tak sangka berakhir dengan perkahwinan sebab jujur, masa kerja dulu, Umie sejenis agak tegas juga dan dalam masa yang sama, selalu juga bergaduh dengan En Suami Umie ni disebabkan hal kerja.

Adatlah perempuan, ada kuota perkataan yang perlu mereka habiskan dalam sehari, jadi bila ada sesuatu isu tercetus, berderet kosa kata yang keluar dari mulut, dalam erti kata lain, membebel. Hahaha

Pada masa itu memang tak fikir lain, cari rezeki untuk bantu mak abah sekolahkan adik-adik. Walaupun adik beradik Umie tak ramai, tapi kos sara hidup di bandar dengan adik-adik ada yang belajar di Universiti, sedikit sebanyak membebankan juga buat mak abah Umie. Ditambah lagi Umie ni anak yang sulung, semestinya tugas bantu ibubapa tu atas bahu Umie walaupun Umie ni anak perempuan.

Alhamdulillah, jodoh kami sampai agak lewat sebab kami berkahwin di penghujung umur 20-an. Sebenarnya seminggu sebelum hari pernikahan kami, nenek Umie meninggal dunia di kampung di Johor. Masa itu, memang sedih sangat sebab cadangnya pada hari nenek meninggal, nak ambil nenek di kampung dan bawa duduk dengan kami. 

Tak sangka masa itu kebetulan abah ada di kampung, abah yang menguruskan semuanya dan kami adik beradik bergegas balik ke kampung di Johor. Nak batalkan, semua benda dah diatur, tinggal tunggu hari majlis saja. 

Jadi, kami teruskan saja dengan seadanya dan majlis doa selamat dilakukan pada sebelah malam majlis pernikahan Umie dan Encik Suami Umie. Setiap tahun, Umie pasti akan ingat tarikh keramat nenek Umie meninggal dunia. 😭

Nak dijadikan cerita, pada hari pernikahan Umie, Umie demam panas sebenarnya. Bertabahlah masa itu dengan selsema, sakit tekak dan batuk segala bagai, tetap teruskan juga majlis. Allah uji sebab Allah sayang. Insya Allah.

Alhamdulillah, majlis nikah, doa selamat dan resepsi selesai dengan baik dan boleh dikatakan adik beradik mak abah Umie yang majoriti daripada Johor hadir pada hari tersebut. Alang-alang sampai Kuala Lumpur kata mereka, sakan juga mereka berjalan di KLCC dan kawasan yang sewaktu dengannya. Seronok mereka.

Alhamdulillah, syukur sepanjang perkahwinan ini, Allah amanahkan sepasang zuriat sebagai tanggungjawab yang perlu digalas. Memang seronok ada anak tapi jangan dilupa tanggungjawab pada anak-anak tersebut yang semestinya akan disoal kelak di akhirat sana.

Semestinya dalam 14 tahun kami melayari rumahtangga, ada masam, masin, pahit dan manisnya, tapi Alhamdulillah, semuanya dapat kami lalui dan harungi dengan bantuan ahli keluarga dan kawan-kawan yang Allah hadirkan membantu.

Pengalaman 2 tahun sejak Umie mengandung anak solehah, iaitu anak kedua kami semestinya takkan kami lupakan. Bagaimana dalam masa 2 tahun tersebut, hospital menjadi rumah pertama kami. Setiap bulan ada sesi check-in yang paling sekejap 1 minggu dan paling lama 3 bulan. Alhamdulillah, merasa beraya di hospital dalam 2 tahun tersebut. Dalama masa 2 tahun ini juga, anak sulung kami harus belajar berdikari, tinggal dengan atok dan nenek sekejap, iaitu mak dan abah Umie bila adik dia dimasukkan ke hospital. Huhuhu

Terima kasih anak soleh Umie sebab memahami keadaan Umie dan Ayah waktu itu. Dan terima kasih juga buat anak solehah Umie sebab terus kuat dan tabah menghadapi ujian yang Allah kurniakan di awal kelahiranmu dulu. 💖

Mohon sahabat semua doakan semoga perkahwinan kami diberkati dan dirahmati Allah. Mohon doakan juga agar kami dalam berhimpun di dalam syurga Allah tanpa hisab dan azan serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan berkat serta tidak putus-putus hingga kami dapat menyumbangkan ia ke jalan Allah. Insya Allah, aamiin

Kami juga mendoakan yang sama buat sahabat semua dan semoga sahabat semua dimudahkan segala urusan baik di dunia mahupun di akhirat. Insya Allah, aamiin.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share: