Tuesday, May 09, 2017

Jom Sediakan 30 Meny Lazat Disepanjang Ramadhan

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png
JOM SEDIAKAN 30 MENU LAZAT DISEPANJANG RAMADHAN
1. Tilawah Al-Quran sejuzuk sehari paling kurang.
2. Sholat tarawih minima 8 rakaat setiap malam.
3. Sholat Witir minima 3 rakaat semalam.
4. Beri makan org berbuka puasa walau pun dengan sebiji Kurma setiap hari.
5. Sholat fardhu 5 waktu berjamaah setiap hari.
6. Tahajud setiap malam minima 2 rakaat.
7. Sunat dhuha setiap pagi minima 2 raka'at. 
8. Sedekah setiap hari minima seringgit. 
9. Pastikan sahur setiap hari.
9. Iftikaf di masjid setiap hari walau sekadar 10 minit.
10. Tadarus Al-Quran sambil berusaha memahami maksudnya.
11. Ziarah orang yang kurang bernasib baik.
12. Kurangkan ziarah ke bazar-bazar Ramadhan.
13. Pilih makanan sunnah sebagai menu utama setiap hari.
14. Elakkan membeli makanan dari tangan-tangan orang yang fasik.
15. Jauhkan aktiviti yang sia-sia. 
16. Zikir harian, banyakkan berdoa.
17. Lazimi bibir dengan beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali dalam sehari.
18. Ajar diri dengan sifat rendah hati kerana Allah. 
19. Mudah memohon dan memberi maaf.
20. Menjaga dan menghubung silaturrahim
21. Menjaga dan menutup aurat dengan sempurna (bukan berpakaian tapi bertelanjang)
22. Menjaga lisan, pandangan, pendengaran & hati dari perkara-perkara yang Allah murkai. 
23. Tidak berlebih-lebihan mahu pun membazir dengan makanan terutama juadah berbuka puasa. 
24. Perbanyakkan amalan-amalan sunnat seperti Sholat  sunnat rawatib.
25. Lazimi sunnah Rasulullah yang ringan tulang dalam urusan rumah tangga (terutama suami & anak-anak lelaki)
26. Lazimkan untuk kawal diri dan tahan marah, didik diri untuk lebih bersabar.
27. Basahi lidah untuk sentiasa berzikir dan memperbanyakkan bersyukur pada Allah di kala senang atau pun susah.
28. Menjaga ikhtilat - hubungan antara lelaki dan perempuan.
29. Membayar zakat fitrah dalam waktu yang telah ditetapkan.
30.  Ikhlaskan hati kerana Allah, hadirkan Allah didalam hati, berusaha menjalani Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin seolah-olah ini adalah Ramadhan terakhir kita. In Sya Allah. ان شاالله 
Silakan Kongsi Ya!👍🌹

Sumber : Grup Whatsapp

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Wednesday, May 03, 2017

Turunkan berat badan dengan lemon

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png
Alhamdulillah

Bila lama sangat berada di hospital, terasa betul berat badan naik bilamana pakai baju rasa tak selesa pula. Badan terasa seperti dipam dengan jayanya. Hihi

Bila sudah balik ni, mulalah tekad menurunkan berat badan. Nak terus drastik, MPA tak berani sebab takut badan tak boleh nak terima. Jadi, untuk permulaan ini, MPA mulakan dengan buah lemon.

Sumber : Google
Caranya MPA mengambil segelas air suam, dicampurkan dengan perahan lemon dan satu sudu madu. Boleh juga jika bersama air sejuk tetapi keberkesanannya kurang, tidak seperti pengambilan bersama air suam. Lagipun, MPA kurang gemar air sejuk, lebih sukakan air suam.

Selain menurunkan berat badan, lemon yang kaya dengan Vitamin C amat baik untuk kesihatan kulit. Lemon juga berkhasiat menjadi ubat antiseptik dan antibakteria mampu menyembuhkan masalah ringan kulit seperti jerawat. Selain itu, lemon juga dikatakan mampu menurunkan paras kolesterol sekaligus mengawal tekanan darah tinggi.

Banyak khasiat lemon tetapi jangan mengharapkan air lemon semata untuk menurunkan berat badan. Aktiviti kecergasan perlu juga kita lakukan supaya badan menjadi sihat dan kuat.

Jom kongsikan dengan MPA apa pula yang sahabat-sahabat MPA amalkan untuk menurunkan berat badan. Boleh juga MPA amalkan jika ianya bersesuaian dengan MPA.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Monday, May 01, 2017

Selamat Hari Buruh

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Alhamdulillah


Selamat datang bulan Mei. Fuh, cepat betul masa sekarang. Dah bulan Mei. Nanti tup tup, tau tau dah bulan Disember. 


Hari ini juga merupakan Hari Buruh. Cuti umum buat semua rakyat Malaysia. Kesempatan cuti 3 hari ini, ramai juga yang balik ke kampung. Seronoknya. Namun tak kurang juga ada yang mengadakan kenduri samada kenduri khawin, kenduri doa selamat dan ada juga yang mengadakan kenduri sambut puasa. Almaklum, tak lama lagi kita akan mula berpuasa Ramadhan.


Alhamdulillah, hari ini juga merupakan hari ulangtahun perkahwinan MPA yang ke-7. Rasa kejap je sudah 7 tahun. Kalau sebelum-sebelum ini, MPA meraikannya di kampung suami di Bagan Datoh. Tetapi tahun ini, MPA tidak kemana-mana, hanya di rumah sahaja. Semua disebabkan faktor kesihatan puteri MPA, Ain Humaira. Doktor sudah menasihatkan supaya tidak membawa Ain ke mana-mana. Alhamdulillah, mentua faham dengan masalah yang sedang MPA sekeluarga hadapi. Jika berkesempatan, mungkin suami dan putera MPA, Amir Syukur yang akan balik ke kampung. MPA akan berada di sini menjaga Ain. Mudah-mudahan ianya hanya sementara waktu, insya Allah.

Tidak dinafikan memang banyak cabaran dan dugaan sepanjang 7 tahun ini. Semua orang diuji, kami juga tidak terkecuali. Apa yang dapat MPA dan suami lakukan adalah banyakkan bersabar. Kadang-kadang ada juga 'hangin' MPA sampai. Alhamdulillah, suami MPA jenis penyabar. Terima kasih banyak-banyak. 

Bila anak sering tak sihat, kadang-kadang terlintas juga pemikiran negatif. Apa yang MPA dan suami lakukan adalah melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada kami. Alhamdulillah, sebenarnya besar hikmah apabila Ain selalu dimasukkan ke wad. Sebab MPA dapat lihat dan tahu ada lagi yang kritikal daripada Ain dan ada lagi yang kurang bernasib baik daripada kami. Agaknya Allah nak MPA dan suami terus kuat, bersabar dan tidak mudah mengalah dengan apa jua cabaran yang datang terutama bila ianya melibatkan anak.

Semoga MPA sekeluarga dan juga sahabat-sahabat MPA di sini juga kuat, sabar dan tabah menghadapi apa jua yang terjadi dalam perjalanan hidup kita. Anggaplah ianya sentuhan kasih sayang daripada Sang Pencipta kita, Allah Taala. Jika merasa lelah, rehat seketika. Renung dan fikirkanlah segala yang terjadi di sekeliling kita. Insya Allah, kita akan lebih bersyukur dan menghargai segala apa yang kita ada, insya Allah.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Friday, April 28, 2017

Syaaban menjelma

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png
Alhamdulillah

Bulan Syaaban telah menjelma. Bahang Ramadhan pun mula terasa. Semestinya bulan Syaaban baik untuk kita mula berlatih berpuasa. Selain dapat pahala berpuasa di bulan Syaaban, kita juga dapat melatih diri kita baik dari segi fizikal dan rohani untuk menghadapi dugaan di bulan Ramadhan.

Dengan cuaca sekarang yang boleh dikatakan kita mengalami keadaan hujan setiap hari, semestinya kita mengharapkan cuaca yang sama kita hadapi sewaktu Ramadhan nanti.

Agaknya, apa perkara yang paling sahabat-sahabat MPA nantikan setiap kali Ramadhan menjelma?

Bagi MPA, apa yang MPA paling nantikan adalah suasana bulan Ramadhan itu sendiri. Antaranya ramai yang bertadarus Al-Quran, tak mengira siang atau malam. Selain itu, adanya Bazar Ramadhan yang menawarkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa. Apa yang pasti, MPA dapat merasakan ketenangan dan kedamaian di dalam bulan Ramadhan. Mungkin mindset MPA berkaitan syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan membuatkan MPA merasakan sebegitu.

Apa yang pasti, Ramadhan adalah bulan yang teristimewa. Jom kongsikan dengan MPA dan sahabat yang lain apa yang paling dinantikan menjelang Ramadhan. 

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Thursday, April 20, 2017

Pulang dengan jayanya

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png
Alhamdulillah

Sudah 2 hari MPA balik ke rumah. 2 bulan lebih juga MPA tinggal di hospital, menemani puteri MPA, Ain Humaira. Alhamdulillah, berjaya juga MPA balik setelah 3 kali cubaan balik tidak berjaya.

Asal doktor ada menyebut boleh balik, terus puteri Ain tak sihat, samada malam hari mahupun hujung minggu, sehinggalah terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). 

Tetapi untuk kali ini, doktor mahupun jururawat menyebut "boleh pergi melancong" ataupu "boleh pergi shopping". Itupun kami, termasuk MPA sendiri sentiasa mengawasi keadaan kesihatan Ain. Bimbang tidak sihat lagi sekali.  

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Sudah lama tidak balik, rasa kekok dan pelik pula dengan keadaan rumah. Ain pun terpinga-pinga pada mulanya. Penangan tinggal lama di hospital. Hihi

Terima kasih banyak-banyak kepada warga kerja Wad KK6, Wad KK5, PICU dan Pasukan Pembedahan Pediatrik, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur kerana melayan kerenah dan ragam kami selama 2 bulan lebih. Alhamdulillah, layanan yang diberikan memang memuaskan. Semestinya ada salah silap dimana-mana tapi bagi MPA, adatlah sebagai manusia biasa. Lagipun kita bukan robot, jadi terima seadanya. Secara keseluruhan, MPA puas hati cuma ralat sikit MPA tak dapat ucapkan terima kasih kepada doktor yang merawat Ain sebab MPA gerak balik malam, yang tinggal cuma jururawat dan doktor on-call.

Walaubagaimanapun, kenangan selama 2 bulan lebih tinggal di hospital memang susah untuk dilupakan. Semoga anak-anak yang masih ada di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur diberikan kesihatan dan kesembuhan agar dapat juga pulang ke rumah masing-masing, insya Allah.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Friday, April 14, 2017

Gaji besar vs ketenangan jiwa

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Gaji besar vs ketenangan jiwa 

Gaji yang besar tidak semestinya menjanjikan ketenangan.
Pernah saja saya bergaji besar namun tiada ketenangan; sekarang gaji kecil dari dulu tapi tenang.
Pernah juga jiran saya bergaji besar namun disebutnya tiada ketenangan; sekarang gaji kecil dari dulu tapi tenang.

Saya dan dia belajar bahawa antara sumber duniawi yang membawa ketenangan adalah:
1. Masa yang berkualiti bersama isteri dan famili.
2. Kerja yang bersesuaian dengan jiwa dan famili.

Saya dan dia juga belajr bahawa antara sumber ukhrawi yang membawa ketenangan adalah:
1- Masa yang diluangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.
2- Masa yang digunakan untuk mendalami agama Allah Taala.

Justeru, wahai sahabat, jangan dikau dambakan ketenangan pada gaji yang besar semata-mata, namun kerja itu menjadikanmu jauh dari ketenangan.

Jika dikau bertemu gaji besar serta ketenangan, jagalah kerja itu kerana ianya membuahkan ketenangan.

Tetapi, jika dikau perlu buat pilihan antara gaji besar tanpa ketenangan dengan gaji kecil bersama ketenangan, maka nasihatku buatmu agar dikau dahulukan si kecil yang menenangkan jiwa dan janganlah dikau pilih si besar yang menyeksa batinmu.

Ingatlah firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 216:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Tadabburkanlah bahagian ini: "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu."

Boleh jadi kita benci gaji kecil padahal ia baik bagi kita.
Dan boleh jadi kita suka gaji besar padahal ia buruk bagi kita.

Semoga kita semua beroleh ketenangan di dunia dan juga di akhirat.

DFO
Jumaat
10 Rajab 1438
7/4/2017

https://www.facebook.com/Dr.Fadlan/posts/10211833998343046

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Wednesday, April 12, 2017

Jika perlu tinggal lama di hospital

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Alhamdulillah

Hari ini genap 2 bulan MPA berada di hospital. Ain sudah beransur baik. Cuma belum nampak lagi tanda-tanda bila kami boleh balik.

Tinggal lama di hospital memang mencabar. Lebih-lebih lagi pada ibubapa yang bekerja. Untuk cuti lama, bergantung pada sesebuah syarikat. Ada yang membenarkan dan ada juga yang tidak. Bergantung budi bicara pihak atasan.

Walaubagaimanapun, ada beberapa tips yang ingin MPA kongsikan jika ibubapa perlu tinggal lama di hospital.

1. Berbaik-baik dengan jururawat dan doktor. Jika boleh, ingat nama jururawat dan doktor. Bukan apa, apabila sudah lama di hospital, lebih mesra jika kita panggil mereka dengan nama gelaran dan nama mereka. Walaupun layanan mereka tidaklah layanan kelas pertama pada kita, sekurangnya mereka merasa selesa dengan kita dan seterusnya mereka ingat akan keperluan anak kita seperti set mencuci luka. Dulu kerap juga MPA minta setiap pagi, tetapi sekarang jururawat sendiri yang beri pada MPA setiap hari. Bukan bermaksud MPA baik sangat, tetapi jika kita berbaik dengan mereka, mereka juga akan berbaik dengan kita.

2. Berkenalan dan beramah mesra dengan ibubapa yang lain. Ikut keselesaan ibubapa sendiri. Sekurangnya bila bercerita dan bersembang dengan ibubapa lain, kurang rasa tekanan menjaga anak yang tidak sihat serta dapat meramaikan kenalan. Walaubagaimanapun, jangan sakan sangat bersembang hingga terlupa anak yang tidak sihat.

3. Bagi ibubapa yang bekerja, terangkan dengan jelas keadaan anak yang menyebabkan perlunya cuti kecemasan. Sentiasa update majikan untuk sebarang keadaan anak supaya majikan dapat menyokong cuti kecemasan yang dipohon. Namun ada juga majikan yang kurang memahami keadaan ibubapa. Jadi, mungkin boleh cuti secara bergilir-gilir di antara ibu dan bapa untuk menjaga anak di hospital. Ataupun minta bantuan adik beradik atau saudara mara untuk menjaga anak. Jika berkemampuan lebih, bolehlah mengupah orang untuk menjaga anak.

Itu di antara tips yang boleh MPA kongsikan. Mungkin ada di antara sahabat-sahabat yang boleh berkongsi atau menokok tambah, MPA amat alu-alukan. Sekurangnya dapat membantu ibubapa yang perlu tinggal lama di hospital menemani anak.

MPA mendoakan semoga anak-anak sahabat-sahabat MPA disini diberikan kesembuhan daripada segala penyakit yang dihadapi. Semoga ibubapa yang mempunyai anak yang tidak sihat dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi segala ujian yang melanda. Insya Allah.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Monday, April 10, 2017

Berhentilah menyalahkan sesiapa jua

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Alhamdulillah

Menemani anak di hospital, bermacam ragam, keletah dan cerita dapat MPA lihat. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Yang baik, kita jadikan teladan. Yang tidak baik, kita jadikan pengajaran.

Hampir 2 bulan juga MPA tinggal di hospital kali ini, pada waktu entri ini ditaip. Tempoh yang paling panjang setakat ini. Sebelum ini, paling lama hanya sebulan dan paling kurang hanyalah seminggu sahaja.

MPA teringin untuk menyentuh satu perkara iaitu, walau apapun yang terjadi pada anak kita, anggaplah ianya ujian dan dugaan daripada Maha Pencipta kita. Tidak perlu terus menerus menyalahkan sesiapa atas apa jua yang berlaku.

Mungkin dulunya anak kita seorang yang ceria dan sihat walafiat, dan pada suatu hari dia jatuh sakit, janganlah terus menerus menyalahkan seseorang atas apa yang berlaku, terutama bila ianya melibatkan pasangan kita.

Semestinya pasangan kita sudah merasa bersalah atas apa yang berlaku, cukuplah kita menyalahkannya dan bersama-samalah berusaha mendapatkan rawatan yang terbaik buat anak tersebut.

Jika MPA di tempat pasangan tersebut, memang MPA merasa bersalah sangat, tetapi bila pasangan terus menerus menyalahkan MPA, terasa tekanannya memang tinggi. Senang cerita, cuba kita letakkan diri kita di tempat orang tersebut, bagaimana rasanya. 

Perlu diingatkan, letak ego seketika di tepi demi kesembuhan anak. Cuba segala cara yang diketahui dan yang diajari selagi mana ianya tidak menyalahi syariat agama. Sentiasa mohon pada yang Maha Esa kesembuhan anak.

Ada sesetengah penyakit boleh sembuh dengan segera dan ada sesetengah penyakit memerlukan masa yang panjang untuk sembuh. Walaubagaimanapun, sentiasa percaya pada percaturan Allah Taala kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Sentiasalah mohon diberikan hati yang redha, tabah dan sabar buat kita dan pasangan di atas apa jua yang berlaku. Insya Allah, hati merasa tenang menghadapi apa jua yang mendatang.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Sunday, April 02, 2017

Belajar erti bersedia

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Bersedia bermaksud berada pada langkah berjaga-jaga. Kita seharusnya sentiasa bersedia dalam menghadapi apa jua situasi dan keadaan.

Sebenarnya, bukan itu yang MPA nak cerita. Hari ini, puteri MPA, Ain Humaira berada dalam keadaan tidak sihat sangat sehingga perlu dibawa ke Unit Rawatan Rapi. MPA sudah bersedia tentang pasang surut tahap kesihatan Ain tetapi MPA kurang bersedia apabila Ain perlu pergi ke Unit Rawatan Rapi. 

Bercucuran juga air mata mengenangkan Ain ke sana. Tetapi ini bukan pengalaman yang pertama buat Ain, ini merupakan pengalaman yang kedua.

Selepas ini MPA perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal tetang tahap kesihatan Amir dan Ain. Tetapi yang lebih utama adalah Ain. Alhamdulillah, Ain hanya perlu bantuan pernafasan menggunakan mesin BiPAP dan oksigen, tanpa perlu intubation. 

Intubation itu adalah proses memasukkan tiub melalui mulut terus ke saluran pernafasan untuk membantu pesakit bernafas. 

Selepas teman dan tidurkan Ain sebentar tadi, barulah MPA rasa dapat rasa nikmat berehat untuk hari ini kerana keadaan Ain bertambah stabil. Cuma MPA masih perlu berjaga-jaga sekiranya jururawat Unit Rawatan Rapi akan memanggil MPA pada bila-bila masa pada malam ini. Bimbang juga sekiranya apa-apa berlaku pada malam ini. Malam ini MPA diberikan katil untuk tidur di wad sementara anak masih berada di Unit Rawatan Rapi. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua jururawat yang bertimbang rasa dan ambil berat tentang Ain.

Harapan MPA seperti ibubapa yang lain, tidak lain dan tidak bukan mengharapkan kesihatan Ain semakin stabil dan bertambah baik dari semasa ke semasa. Insya Allah.

Wallahua'lam

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share:

Saturday, April 01, 2017

Selamat Datang April

 photo bismillah-02.png
 photo salam6black.png

Alhamdulillah
Cepat betul masa berlalu. Tup tup, sudah masuk April. Bagi yang ada menanam azam dan impian, sudah hampir separuh jalan juga untuk capai apa yang dihajati. Kalau tidak pun, mungkin perlu muhasabah diri dengan fikirkan kelemahan dan kekurangan yang ada di mana-mana.

Perjalanan impian MPA agak terganggu juga buat masa ini sejak puteri MPA, Ain Humaira dimasukkan ke wad. Sehingga pada masa entri ini dikarang, kami masih berada di wad. 

Walau di mana jua tahap pencapaian kita dalam mencapai impian kita, marilah kita tetap berusaha mencapainya. Ada masa, mungkin kita perlu berhenti berehat sebentar, merenung dan bermuhasabah diri. Tetapi tidak perlu lama untuk berhenti. Bimbang momentum menuju pencapaian berkurang, ataupun hilang pula nanti.

Selamat mencapai impian. Selamat datang April. ^_^

 photo DC347A584D917411A24728AD62EDEFF9.png
Share: