Sunday, October 22, 2023

Bersyukurlah dengan keadaan kita di sini

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad
http://mamapapaamir.blogspot.com


"Umie, Ustaz dekat sekolah kirim salam," anak soleh Umie tiba-tiba sampaikan masa balik dari sekolah.

Bila tanya nama Ustaz apa, jenuh juga fikir sebab nama Ustaz yang kirim salam itu tak ada dalam senarai kawan-kawan sekolah atau masa belajar. Tapi mana Ustaz tahu pasal Umie pula. Pelik bin ajaib!

Tanya punya tanya, rupanya Ustaz sekolah kirim salam pada semua ibu bapa dan mohon ibu bapa mendoakan saudara seIslam yang sedang berjuang sekarang ini. Allahuakbar! Terima kasih Ustaz sebab berkongsi dengan anak-anak tentang saudara di sana.

Jadi, Umie pun ambil kesempatan tunjukkan pada anak soleh dan anak solehah Umie tentang apa yang sedang berlaku di sana. Umie pun terangkan juga sikit-sikit tentang apa yang berlaku dan sejarah yang berkaitan. (Walhal dulu subjek Sejarah paling tak minat langsung. Baru tengok buku teks Sejarah, mula menguap mengantuk. Hahaha)

Selain itu, Umie juga nak ajar anak-anak selalu bersyukur dengan keadaan kita di sini. Walau kita susah macam mana sekalipun, Alhamdulillah masih ada elektrik untuk buat macam-macam aktiviti, air untuk diminum dan rumah untuk berteduh. Tapi mereka, saudara kita di sana, masih belum tahu lagi untung nasib sekejap lagi. Adakah masih bernafas lagi atau sudah syahid sebab sekarang, hospital dan rumah ibadah pun jadi sasaran. Apatah lagi rumah.

Jujur, sejak terjadi peristiwa tersebut, boleh dikatakan Umie hari-hari menangis. Menangis mengagumi betapa kuatnya mental mereka dan betapa tingginya tawakal mereka pada Allah. 😭

Ahli keluarga ramai yang meninggal dunia, masih mampu memberikan kata-kata semangat dan tersenyum.

Rumah musnah dan kekurangan kemudahan, masih mampu ucapkan Alhamdulillah. Allahu!😭

Yang paling terkesan dan menyayat hati bila nampak anak-anak kecil sama ada yang terkorban atau yang masih terselamat. 😭

Umie terfikir macam mana kalau jadi pada anak sendiri atau berlaku di tanah air sendiri, mampu dan bersediakah kita?

Benar, Allah uji mengikut kemampuan hamba-hambaNya. Ada sesetengah sahabat Umie tak mampu nak tengok hantaran tersebut. Ada yang mula tak lalu makan dan mula tak boleh tidur malam sebab teringat-ingat hingga ada yang termimpi. Mana yang ada anxiety atau depression, memang terpaksa mengelak daripada melihat hantaran tersebut.

Sebab itu agaknya Allah tak beri ujian tersebut pada kita di sini sebab kita memang tak mampu. Tapi Allah beri kita ujian dalam bentuk lain, yang tak kurang beratnya juga.

Perasan atau tak, kita selesa sangat sekarang. Keadaan negara kita aman damai. Tapi dalam keadaan terlalu selesa sekarang, kita selalu leka dan lalai dalam ingat pada Allah. Senang cerita kita sedang dalam fasa ujian senang. Lagi berat nak ingat pada Allah selalu. Allahu! 😭

Tapi bila Allah bagi ujian kesusahan, insya Allah, cepat kita ingat pada Allah. Bersungguh kita berdoa dan bermunajat pada Allah. Bersungguh kita minta dalam keadaan menangis-nangis. Allahu! Lemahnya kita ni. 😭

Untuk berada di sana, kita tak mampu. Tapi kita mampu menghulurkan bantuan dalam banyak bentuk yang lain. Seperti menghulurkan bantuan kewangan, mendoakan bersungguh-sungguh buat mereka di sana, bersolidariti dan berkongsi banyak tentang mereka di media sosial.

Semoga Allah mengangkat doa kita untuk mereka. Dan apa yang kita doakan untuk mereka, akan berbalik juga kepada kita juga. Insya Allah. Untung kan?

Selalulah selitkan doa buat mereka dalam apa-apa jua masa yang kita ada.

Semoga Allah membantu mereka sebagaimana Allah membantu Ahli Badar sewaktu perang Badar.

Dan semoga Allah menggagalkan rancangan pihak musuh sebagaimana Allah menggagalkan rancangan tentera Abrahah sewaktu hendak merobohkan Kaabah.

insya Allah, aamiin Ya Rabbal Alaamiin. 


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share: