بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh Allahumma Solli Ala Muhammad
Alhamdulillah ala kulli haal. Bulan baru, semangat baru dan pelbagai perancangan baru. Tak lupa, di bulan baru ini, rakyat Malaysia menerima DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang baru yang merupakan Sultan Johor. Tahniah dan selamat menjalankan tugas buat DYMM Agong yang baru.
Semangat melihat upacara keberangkatan balik Sultan Pahang (Yang Di Pertuan Agong yang lama) dan keberangkatan tiba Sultan Johor (Yang Di Pertuan Agong yang baru) di televisyen dua hari berturut yang lepas. Sebak, hiba, sayu, bangga, semua bersilih rasa.
Walaupun Umie ini dibesarkan dan menetap di Selangor, hakikatnya lahir di Johor dan pernah belajar di Johor serta nombor kad pengenalan bernombor Johor ya, 01. Hehehe
Sebenarnya Umie dan keluarga saja yang berada di Selangor semenjak Umie kecil lagi. Saudara mara pernah juga menetap di Selangor atau Kuala Lumpur atau negeri yang lain, tapi akhirnya masing-masing kembali ke Johor semula.
Jadi, boleh dikatakan saudara mara Umie memang majoriti di Johor dan istilah balik kampung bagi mak abah Umie adalah kembali ke Johor.
Umie pernah belajar di Muar dan semestinya setiap kali keluar ke bandar, memang akan bungkus mee bandung Muar yang dulu kedainya berada bersebelahan Sungai Muar di Bandar Muar nun. Kadang-kadang kirim ke kawan-kawan kalau ada yang keluar. Mungkin kedainya masih ada lagi dan makin cantik serta bersih sekarang. Lama betul tak ke Muar. Kalian yang tahu berkembangan di Muar, jom kongsikan dengan Umie. Huhu
Kemudian Umie sambung belajar di bandar Johor Bahru. Masa ini merasalah sampai ke Plaza Angkasa, Bandar Johor Bahru dan paling dekat pun Skudai Parade. Selalunya masa duit pinjaman baru masuk, kami akan ke bandar untuk beli barang keperluan untuk satu semester. Kena beringat dan berjimat sebab banyak lagi nak guna.
Disebabkan rumah arwah atok dan nenek ada di Pontian, jadi kadang terasa nak balik kampung, Umie akan balik ikut jalan belakang iaitu melalui Pekan Nenas dan sebagainya menggunakan bas sambung-sambung. Almaklum, nak berjimat cermat. Bila ingat balik, gigih betul nak balik kampung masa itu. Agaknya kalau sekarang ini nak naik bas sambung-sambung, berkemungkinan boleh sesat. Hehehe
Itupun kalau ada makcik pakcik nak balik kampung, minta tolong mereka ambilkan di asrama dan balik dengan mereka. Tapi jarang berlaku sebab Umie suka gerak sendiri. Konon nak timbang pengalaman. Hehehe
Sudah lama rasanya tak balik ke Johor semenjak berkhawin sekarang. Macam Kuala Lumpur, semestinya jalan-jalan di Johor juga mengalami perubahan terutama di kawasan-kawasan bandar. Ditambah dengan adanya lebuhraya baharu, Umie percaya berkemungkinan besar Umie perlukan bantuan En Google untuk tunjuk arah jalan dan kebarangkalian untuk sesat memang tinggi. Hahahaha
Insya Allah, ada rezeki dan peluang, Umie akan balik juga ke Johor sebab bagi Umie, walau jauh mana Umie berada, bila berada di Johor hanya sekejap, semacam satu kenikmatan dan kepuasan yang tak boleh nak digambarkan. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri.
Walaupun balik bukan untuk menetap, sekurangnya kenal dan tahu tempat asal lagi dikenang. Insya Allah. Kalian doakan ya.
Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,