Thursday, April 25, 2024

Jamuan Raya Sana Sini

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh 
 Allahumma Solli Ala Muhammad

http://mamapapaamir.blogspot.com

Alhamdulillah ala kulli haal. Disebabkan istilah raya sebulan, sana sini banyak jamuan raya, baik di sekolah, di pejabat mahupun di rumah. Ada yang perlu dimasukkan dalam kalendar sebab berderet, takut ada terlepas mana-mana jemputan pula nanti. Kalian pun macam ini juga ke?

Insya Allah, pejabat suami Umie ada mengadakan jamuan raya hari ini dan suami Umie ditugaskan di bahagian teknikal. Suami cerita majlis daripada tengahari sampai malam. Amboi sangat macam tu. Makan makanan jamuan raya la nampaknya suami Umie hari ni. Hehehe

Insya Allah, bahagian anak-anak pula esok jamuan raya di sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Tengok pada menu yang berderet sebab tema potluck, Umie yang rasa pening nak pecah perut sebab macam-macam makanan sedap ada. 

Selalu cikgu pesan suruh bawa pinggan plastik, sudu dan garfu serta cawan plastik untuk kegunaan sendiri nanti, tapi Umie selalu bawakan mereka bekas makanan terus. Bukan mengajar mereka untuk bungkus makanan yang ada dan bawa balik, tapi memudahkan mereka andai makanan yang mereka makan sendiri tak habis, boleh masuk dalam bekas makanan dan bawa balik. 

Tambahan bila mengenangkan keadaan saudara kita di Palestin sana, rasa sedih pula makanan dibuang macam itu saja. Sekurangnya, bila bawa balik, boleh kongsi dengan adik beradik lain. Sebab menu kelas masing-masing semestinya lain. Sekurangnya boleh la berkongsi rasa sesama adik beradik.

Hujung minggu pula nanti ada jemputan jamuan raya di rumah rakan sekerja suami Umie. Kedudukan jamuan agak jauh juga tapi kata suami Umie, bersungguh rakan sekerja dia mengajak datang. Tak sedap pula tak datang. Alamatnya dapur Umie tutup ya hujung minggu ni. Hehehe

Untuk cuti Hari Pekerja nanti pun kami sudah dapat jemputan jamuan raya oleh jiran kami. Senang cerita, ada saja cuti, memang akan penuh jemputan sana sini untuk majlis jamuan raya sekarang ini. Sediakan perut jawabnya dan pastikan pakaian agak longgar serta selesa. Almaklum, nanti bila perut dah terisi, tak lah terasa sendat pula nanti. Hehehe

Sebab itu wujudnya kata-kata bulan puasa berat turun menjunam, tapi lepas raya naik berganda-ganda. Hahahaha

Almaklum, makanan sedap-sedap. Tapi tak boleh salahkan jamuan raya juga sebenarnya. Lebih kepada kawalan terhadap nafsu dalam diri setiap daripada kita. Kalau makan ikut selera yang sentiasa terbuka, memang tak dinafikan berganda naik berat. Tapi bila makan sekadar rasa dan seadanya, Insya Allah, segalanya akan terkawal.

Yang paling penting, kawal pengambilan makanan dan minuman terutama berlemak dan manis. Dalam nak menikmati makanan yang pelbagai, kesihatan juga perlu diambil berat juga. Tak pasal habis saja Syawal, ramai yang 'check-in' hospital pula nanti.

Dalam menikmati makanan juga, elakkan pembaziran. Ambil dalam portion yang sedikit dulu, orang kata buat rasa rasa. Sebab kadang nampak sedap dan bagi orang lain sedap tapi rupanya bagi kita tidak, almaklum setiap dari kita berbeza citarasa.

Dalam sibuk menikmati juadah, jangan dilupakan tujuan utama jamuan adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara tuan rumah dan para jemputan. Bergurau ada batasannya. Jaga adab dan tutur kata. Sebenarnya ini lebih kepada nasihat pada diri Umie sendiri sebab kadang diri ini terlupa juga bila seronok sangat. Risau juga pada anak-anak andai mereka terlepas kata, terkurang adab.

Semoga dimudahkan semua urusan baik tuan rumah mahupun jemputan serta diberkati Allah di atas majlis yang diadakan. Insya Allah.


Fi hifzillah. Barakallahu fiikum,
http://mamapapaamir.blogspot.com


Share: